Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menerima Replika Kad Keahlian daripada Parti Bangsa Malaysia, Larry Sng pada sidang media Parti Bangsa Malaysia berkenaan permohonan keahlian Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin di Grand Barakah Hotel, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 09 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin akan mengetuai Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk berbincang dengan parti lain bagi membentuk kerjasama sebagai sebuah gabungan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tugas itu selaras dengan pelantikan beliau sebagai ‘Presiden Designate’ PBM.

Pelantikan berkenaan dibuat sejurus Biro Politik dan Majlis Tertinggi PBM mengesahkan keahlian Zuraida dalam mesyuarat yang diadakan hari ini selepas membincangkan permohonan beliau pada 26 April lalu untuk menyertai parti berkenaan.

Presiden PBM, Larry Sng berkata, pelantikan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkenaan dibuat atas permintaan akar umbi dan bagi memacu pembangunan dan perkembangan parti itu pada masa depan.

“Beliau akan mengetuai pertemuan dengan ketua-ketua parti yang lain untuk mengadakan kerjasama dalam mana-mana gabungan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Larry berkata, PBM memutuskan parti itu akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan surat rasmi akan dihantar kepada parti tersebut dalam masa terdekat.

“Itu terpulang kepada proses yang kita telah mulakan. Keputusan proses itu kita kena tunggu lebih masa untuk mereka bincang dan pertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, Larry berkata, Majlis Tertinggi PBM akan bermesyuarat untuk menyusun semula perlembagaan parti bagi membolehkan proses peralihan kepimpinan berjalan dengan lancar dan teratur.

“Proses peralihan ini akan mengambil masa. Kita akan berbincang untuk mengadakan mesyuaratkan agung tahunan dalam masa dua bulan lagi iaitu pada Ogos.

“Ia melibatkan pertukaran perlembagaan parti selepas itu jawatankuasa akan membuat keputusan formula terbaik dan kita akan buat pengumuman kemudian,” kata Larry.

Parti itu ketika ini mempunyai keahlian lebih 100,000 orang di 196 kawasan Parlimen.

Zuraida mengumumkan keluar daripada parti Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada 26 Mei lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Umno tengah tamak tak perlu pun orang baru masuk . Harta rampasan kena berbahagi nanti rugi lah patut dapat sepuluh kena bahagi tinggal lima je .
    Orang baru pun dah rasa lemahnya itu cuba2 nak tumpang rumah besar .
    Tak payah gabung part besar tu . Pedulikan parti kecili dan baru nsnti akan hilang sendiri . Kalau pkr pun boleh hanyut apa lagi yang baru tak berakar umbi tu

Comments are closed.