Kobe Chong.

KUALA LUMPUR – Pemain kacukan, Kobe Chong dikhabarkan semakin hampir untuk menyertai salah satu pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super 2022 setelah beliau bergelar ejen bebas apabila musim 2021/2022 berakhir.

Menurut perkongsian wartawan sukan, T. Avineshwaran, pasukan yang dimaksudkan ialah Sri Pahang di mana pemain berusia 20 tahun itu telah beraksi dalam perlawanan persahabatan dan keluar dengan beberapa pemain Pahang.

Kobe sebelum ini berkongsi ketibaannya di Malaysia menerusi laman media sosial Instagram miliknya.

Pemain muda itu menginap di salah satu hotel namun dia tidak memberitahu di mana lokasinya.

Kobe dikaitkan dengan Sri Pahang setelah pemain itu pernah berjumpa dengan Presiden Pahang Rangers, Tengku Fahd Mua’adzam Sultan Haji Ahmad Shah pada Mei lalu.

Sementara itu, Peterborough melepaskan Kobe selain pemain lain seperti Connor Peters serta Ethan Bojang selepas kelab itu tersingkir ke saingan divisyen ketiga bola sepak England iaitu EFL League One musim hadapan.

Pada masa yang sama, Avineshwaran turut memberikan perkembangan mengenai masa depan Nor Azam Azih di mana menjelaskan pemain tengah itu masih mempunyai kontrak dengan Sri Pahang.

Azam dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa pasukan antaranya Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas Pengarah Teknikal kelab, Alistair Edwards mendedahkan pasukannya akan menandatangani empat pemain baharu untuk menambah kekuatan skuad pada jendela perpindahan pertengahan musim.

Perkembangan tersebut turut disahkan oleh pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkata pasukan berkenaan sudahpun mendapatkan khidmat empat pemain itu. – MalaysiaGazette