Ketua Jurulatih Pasukan Malaysia, Kim Pan Gon dalam sidang media mengenai Pusingan Kelayakan Kejohanan Piala AFC Asian 2023 di Dorset Grand Subang, Subang Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menjangkakan aksi yang sengit dan sukar menentang Bahrain dalam perlawanan kedua Kumpulan E Pusingan Kelayakan Piala Asia China 2023 pada Sabtu ini.

Ketua Jurulatih yang berasal dari Korea Selatan itu mengakui beraksi berdepan Bahrain dengan harapan memungut tiga mata penuh bukan misi yang mudah untuk ditempuhi.

Namun, beliau tidak mahu menyerah kalah lebih awal tanpa mengetahui dan menguji kekuatan sebenar lawan di gelanggang sendiri.

Pan Gon juga yakin anak buahnya lebih bersemangat dan positif selepas menundukkan Turkmenistan dalam aksi pertama dan bersedia menghadapi pasukan yang menduduki rangking ke-89 di dunia itu.

“Aksi permainan berintensiti tinggi dan mendominasi bola sepanjang perlawanan menentang Turkmenistan dan mencipta kemenangan adalah impak positif untuk kami bersemangat untuk menghadapi lawan kami seterusnya Sabtu ini.

“Ya, saya tak menafikan mereka (Bahrain) adalah pasukan terkuat yang menduduki rangking ke-89 dunia dan terbaik dari segi permainan taktikal serta sukar untuk ditewaskan dan memungut mata dengan mudah.

“Namun kami (Harimau Malaya) tidak boleh menyerah kalah dengan mudah sebelum lawan mereka di medan sebenar,” katanya dalam sidang media selepas aksi menang terhadap Turkmenistan kelmarin.

Dalam aksi pertama Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023 Rabu lalu, Harimau Malaya telah menewaskan Turkmenistan 1-3 menerusi gol jaringan Safawi Rasid pada minit ke-11, Faisal Halim(minit ke-16) dan Corbin Ong ( minit ke-45).

Tambah beliau, pasukannya akan terus menerapkan corak permainan intensiti tinggi dan laju serta mendominasi perlawanan semasa bertemu Bahrain nanti.

Malah katanya, perkara berkenaan akan dibincang dengan pegawai pakar taktikal pasukannya untuk membuat sedikit analisis mengenai kekuatan dan kelemahan lawan nanti.

Pan Gon juga optimis anak buahnya mampu melakar kejutan berdepan Bahrain esok jika terus mengekalkan aksi terbaik dan menghiburkan sepertimana yang dipamarkan dalam perlawanan menentang Turkmenistan Rabu lalu.

“Saya harap kami mampu mendominasi perlawanan dan beraksi guna taktik serangan high pressing untuk cipta gol,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast