Bekas pemain kebangsaan Thailand, Sanrawat.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) berjaya mendapatkan pemain tengah pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ketika ini apabila mengumumkan kemasukan bekas pemain kebangsaan Thailand, Sanrawat.

Menurut kenyataan rasmi kelab itu di media sosial, Sanrawat menyertai pasukan itu secara pinjaman dari Bangkok United FC untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Sebelum ini, pemain yang dikenali sebagai Camp ini dipinjamkan ke Ratchaburi Mitr Pol.

“Kehadiran Sanrawat bagi memperkuatkan bahagian tengah pasukan KDA FC dan akan mengisi slot Asean menggantikan Dennis Buschening yang masih dalam pemulihan kecederaan.

“Kehadiran beliau bakal diuji seawal malam ini (aksi persahabatan menentang Perak) dan akan turut menjadi tonggak saingan Piala AFC hujung bulan ini.

“Pengalaman Sanrawat sebagai pemain kebangsaan Thailand dan antara pemain senior di Bangkok United FC pasti menjadi tumpuan, antaranya karakter dan fizikal yang cukup dikenali bagi menggerunkan lawan,” kata kenyataan kelab itu.

Pemain yang berusia 32 tahun ini mempunyai 29 kaps bersama skuad kebangsaan Thailand dan pernah beraksi menentang Malaysia ketika saingan Piala AFF Suzuki.

Beliau juga pernah menimbulkan kontroversi apabila menumbuk pengadil dalam saingan Liga Thai sehingga digantung lapan perlawanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast