Aamir Liaquat Hussain (Gambar: Wikipedia)

NEW DELHI – Pengacara televisyen dan ahli politik terkemuka Pakistan, Aamir Liaquat Hussain, yang sering mencetuskan kontroversi, meninggal dunia di bandar Karachi pada Khamis pada usia 49 tahun.

Aamir Liaquat ditemukan tidak sedarkan diri di rumahnya dan dikejarkan ke hospital tetapi gagal diselamatkan, lapor media Pakistan.

Dalam video baru-baru ini yang dikeluarkan di media sosial, selebriti televisyen itu bercakap mengenai hasratnya untuk meninggalkan Pakistan selepas klip video “tidak senonoh” dirinya didedahkan isteri ketiganya Dania Shah.

Perkahwinan mereka, yang diumumkan pada Februari, berakhir apabila Dania memfailkan perceraian dan mendakwa dirinnya didera.

Beberapa jam sebelum kematiannya, pengendali Twitter Aamir Liaquat menciap semula ciapan wartawan Hamza Azhar Salam.

“Baru bercakap dengan @AamirLiaquat yang mengesahkan bahawa beliau telah meninggalkan #Pakistan dan berpindah ke tempat yang tidak diketahui selepas mengerjakan Umrah. Didoakan yang baik-baik sahaja buat #AamirLiaquat,” tulis wartawan itu.

Hamza berkata Aamir Liaquat telah menghantar nota suara kepadanya pada 6.32 petang Rabu.

“Kami semua bertanggungjawab atas kematiannya. Beliau menjadi mangsa balas dendam, keadaan mentalnya semakin merosot tetapi kami terus membulinya untuk kepentingan kami sendiri. Pakistan kehilangan seorang warganya hari ini,” katanya di Twitter pada Khamis.

Presiden Arif Alvi, bekas presiden Asif Ali Zardari, Menteri Luar Bilawal Bhutto Zardari, Ketua Menteri Sindh Murad Ali Shah, bekas menteri dalam negeri Sheikh Rashid dan Senator Faisal Javed Khan adalah antara mereka yang mengucapkan takziah.

Beliau menjalani “kehidupan dinamik daripada kewartawanan kepada politik,” kata Bilawal.

Aamir Liaquat berkhidmat sebagai menteri semasa pemerintahan Pervez Musharraf.

Beliau menyertai parti bekas perdana menteri Imran Khan Tehreek-e-Insaf (PTI) pada 2018 dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Karachi pada tahun yang sama. Terdahulu beliau menganggotai Gerakan Muttahida Qaumi (MQM).

Beliau pernah menganggotai Gerakan Muttahida Qaumi (MQM).

Speaker Dewan Undangan Negeri, Raja Pervaiz Ashraf menangguhkan sidang dewan pada Khamis hingga 5 petang Jumaat berikutan kematian Ahli Parlimen itu.

— BERNAMA