Perang di Ukraine memberi kesan ketara kepada pasaran makanan global dan boleh menyebabkan tambahan 11 hingga 19 juta orang mengalami kelaparan kronik.

GENEVA – Perang di Ukraine memberi kesan ketara kepada pasaran makanan global dan boleh menyebabkan tambahan 11 hingga 19 juta orang mengalami kelaparan kronik, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Jumaat, lapor Xinhua.

Jurucakap FAO Boubaker Ben Belhassen dalam satu taklimat media di sini berkata kedua-dua negara yang terlibat dalam konflik itu adalah pengeluar utama komoditi pertanian dunia, dengan gabungan bahagian sekitar 30 peratus daripada eksport gandum global.

Negara-negara paling terjejas akibat konflik adalah di wilayah Afrika utara, katanya.

Beliau berkata memetik laporan tinjauan makanan terbaru FAO, yang menunjukkan kemungkinan mengetatkan pasaran komoditi makanan pada 2022 disebabkan “harga input melambung tinggi, kebimbangan mengenai cuaca dan peningkatan keadaan pasaran tidak menentu.”

Selain itu katanya, harga makanan antarabangsa yang lebih tinggi diunjurkan meningkatkan bil import makanan global sehingga US$1.8 trilion pada 2022.

“Bil import yang lebih tinggi terutamanya mencerminkan kos unit lebih tinggi berbanding volum yang lebih tinggi, dengan banyak negara, terutamanya negara yang terdedah dari segi ekonomi, akan menghadapi bil yang lebih tinggi ketika mengimport dalam jumlah lebih kecil,” katanya.- BERNAMA