KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Zurainah Musa dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang baru berkuat kuasa, semalam.
Zurainah menggantikan Zakaria Abdul Hamid yang tamat perkhidmatan pada 22 Mei lalu menerajui FINAS selama tempoh dua tahun.
Mengumumkan pelantikan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa memberitahu, pelantikan Zurainah selaras dengan Seksyen 4 (1) Akta 244 – Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan 2013) bagi maksud melaksanakan fungsi seperti mana diperuntukkan di bawah akta itu.
Annuar berkata, dia yakin pengalaman Zurainah dalam pelbagai bidang bakal membawa nafas baharu kepada FINAS.
“Dengan pelbagai pengalaman dimiliki Zurainah, saya yakin beliau mampu membawa anjakan dalam membantu perkembangan industri perfileman dan kreatif negara ini.
“Saya juga yakin, pemegang taruh industri perfileman dan kreatif akan terus memberikan sokongan kepada usaha diketengahkan kerajaan melalui FINAS.
Selain Ahli Dewan Negara, Zurainah juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Ahli Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN).
Zurainah turut memegang jawatan Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad dan mengetuai Jabatan Hubungan Strategik Berjaya Corporation dan menjadi pengarah kepada sejumlah anak syarikat Berjaya Assets Berhad.
Beliau bergelar pengarah dalam Kumpulan UZMA dan turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ahli Lembaga Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dan Penasihat Persatuan Ibu Tunggal, Warga Emas dan OKU (PRIMAS). – MalaysiaGazette