Jemaah menunaikan solat Jumaat dalam keadaan tanpa penjarakan fizikal selepas negara memasuki Fasa Endemik bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2022.

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan membenarkan jemaah untuk merapatkan saf ketika solat di semua masjid dan surau di negeri ini berkuat kuasa Isnin.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jemaah tidak lagi diwajibkan membawa sejadah bersaiz standard selain aktiviti pengajian ilmu seperti kelas takmir, kuliah, tazkirah dan ceramah dibenarkan tanpa penjarakan fizikal.

“Bagaimanapun, jemaah masih wajib memakai pelitup muka dengan sempurna sepanjang berada dalam ruang masjid dan surau yang tertutup,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Dalam pada itu, beliau berkata ibadah korban sempena Aidiladha pada tahun ini juga dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh negeri.

Aminuddin berkata, pemohon atau penganjur perlu membuat permohonan melalui sistem e-qurb@NS di http://equrbans.jheains.my bermula 2 petang Isnin hingga 4 petang, 3 Julai depan.

Menurutnya, jemaah juga dibenarkan merapatkan saf ketika solat sunat Aidiladha namun pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast