KUALA LUMPUR – Kerajaan harus mengambil pendekatan holistik dalam melaksanakan pembaharuan struktur termasuk kemungkinan pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan meningkatkan daya tahan ekonomi negara serta ringgit dalam jangka panjang, menurut pakar ekonomi.
Laluan ke arah peningkatan ekonomi perlu berdasarkan pandangan dan penyelesaian jangka panjang dan bukannya jangka pendek, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
“Penyelesaian adalah untuk jangka panjang kerana ia memerlukan keseluruhan penambahbaikan ekonomi. Kita tidak seharusnya terlalu menumpukan kepada ketidaktentuan jangka pendek tetapi lebih kepada jangka panjang.
“Bagaimana kita boleh menghubungkannya dengan dasar ekonomi yang akan menghasilkan hasil lebih baik untuk orang ramai dan perniagaan. Penyelesaian jangka panjang melibatkan ekonomi dan mata wang,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata ringgit dilihat semakin lemah dari semasa ke semasa berbanding mata wang utama seperti dolar AS dan dolar Singapura, apa yang pasaran mata wang mungkin cuba beritahu ialah tahap daya saing negara mungkin mempunyai beberapa isu.
Mata wang tempatan juga terus merosot berbanding dolar Singapura ke paras terendah pada RM3.1856.
Beliau berkata pergantungan Malaysia kepada barangan makanan yang diimport serta kepada tenaga buruh asing telah memburukkan lagi masalah itu kerana negara telah menjual lebih banyak ringgit untuk memperoleh komoditi tersebut.
“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, nisbah sara diri adalah rendah untuk barangan pertanian seperti daging lembu (22.2 peratus) yang mana kita membelanjakan sebanyak RM2.2 bilion untuk import; daging kambing (9.6 peratus) dan RM879.4 juta dibelanjakan untuk import; cili (30.9 peratus) dan beras (63.0 peratus).
“Tambahan pula, apabila kita mengimport tenaga buruh dari luar negara, tahap kiriman wang adalah tinggi kerana pekerja warga asing menghantar wang hasil titik peluh ke negara asal mereka dan tidak membelanjakannya di Malaysia,” katanya.
Lebih 70 peratus daging kambing yang diimport adalah dari Australia manakala mangga, kelapa dan daging lembu diimport kebanyakannya dari Thailand, Indonesia dan India.
Memetik statistik oleh Jabatan Pertanian, Mohd Afzanizam berkata sektor pertanian merupakan salah satu tonggak ekonomi negara pada peringkat awal pembangunan dengan sumbangan sebanyak 28.8 peratus kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 1970 dan 22.9 peratus pada 1980. Bagaimanapin, pada 1990 sektor tersebut (16.3 peratus) telah diambil alih oleh sektor pembuatan (24.6 peratus) berikutan kemajuan sektor pembuatan yang mencerminkan kejayaan Pelan Induk Perindustrian Malaysia – Fasa 1.
Sehingga tahun 2020, bahagian pertanian berjumlah 7.4 peratus daripada KDNK keseluruhan dan sejak beberapa tahun lepas, bahagian sektor pertanian Malaysia dalam ekonomi adalah sedikit berbanding negara jiran seperti Indonesia (13.7 peratus pada 2020) dan Thailand (8.6 peratus pada 2020).
Mengenai cukai penggunaan, Profesor Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Dr Geoffrey Williams berkata berkata pelaksanaan semula GST adalah idea yang baik tetapi ia tidak harus dilaksanakan serta-merta.
“Apabila tekanan inflasi berkurangan, GST harus dimasukkan dalam proses pemulihan cukai yang lebih luas. Untuk menghapuskan gangguan terhadap harga, pembaharuan cukai harus membawa kepada pengenaan cukai jualan disatukan ke atas semua barangan. Keseluruhan sistem boleh dibuat lebih progresif dengan mengenakan cukai berasingan kepada produk mewah.
“Bagaimanapun, GST yang rumit harus dielakkan kecuali pengecualian biasa ke atas produk penting. Pembaharuan terhadap cukai juga harus merangkumi pemotongan cukai lain dan meningkatkan kecekapan sistem cukai,” katanya.
Beliau berkata secara amnya, cukai sama ada dikenakan ke atas pendapatan atau perbelanjaan dan di kebanyakan negara termasuk Malaysia, cukai pendapatan mudah dielakkan manakala cukai perbelanjaan adalah sukar.
“Sehubungan itu, cukai penggunaan seperti GST adalah lebih baik dan membenarkan individu, isi rumah dan perniagaan membayar cukai pendapatan yang lebih rendah. Cukai syarikat juga harus diubah suai. Banyak perusahaan kecil dan sederhana, contohnya, secara sengaja melaporkan keuntungan sifar untuk mengelak daripada membayar cukai. ,” katanya.
Menurutnya, syarikat besar memperuntukkan semula pendapatan menggunakan pindahan harga untuk mengelak cukai, akibatnya ramai yang akhirnya membayar cukai yang lebih rendah daripada pekerja mereka, situasi ini juga harus ditangani.
Mengenai garis masa GST, kerajaan juga berpandangan bahawa pelaksanaan semula GST akan mengambil masa.
Dalam Laporan Kewangan Rakyat terbaharu yang dikeluarkan pada hari Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi jaminan bahawa tiada cukai baharu akan diperkenalkan melainkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 berada pada landasan yang stabil dan kukuh.
“Sebarang sistem percukaian baharu perlu diluluskan oleh Parlimen dan jika kita mengambil kira keperluan untuk mengadakan sesi libat urus bersama orang ramai serta penambahbaikan kepada sistem sedia ada, tidak mungkin GST dilaksanakan tahun ini,” katanya.
— BERNAMA