Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

MELAKA – Bukit Aman akan mempertingkatkan kawalan di sempadan Thailand bagi mengekang penyeludupan ganja ke negara ini susulan negara itu membenarkan penanaman ganja di rumah untuk kegunaan sendiri sejak Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keputusan negara jiran itu dilihat bakal memberi cabaran baharu kepada Malaysia untuk membanteras penyalahgunaan dadah di Malaysia.

“Ini (kebenaran tanam ganja di rumah) memang akan beri kesan, akan timbulkan keghairahan yang lebih di pihak kita (Malaysia).

“Mungkin penghidu-penghidu (penagih dan pengedar) ini akan lebih mudah sebab pergerakan (ganja) ini sudah tiada had lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menjadi panel pada Seminar Isu Sosial Masyarakat 2022 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal di sini hari ini yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali

Mengulas lanjut Ayob Khan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau pergerakan penyeludup yang cuba mengambil kesempatan terhadap kebenaran Thailand itu untuk membawa masuk ganja ke negara ini.

“Mungkin semua (penagih dan pengedar) akan tunggu di sempadan untuk bawa masuk ganja ke Malaysia sebab itu kita pun akan mempertingkatkan kawalan di sempadan negara.

“Malah semalam pun, kita telah merampas sebanyak 860 kilogram ganja yang cuba diseludup masuk dari Thailand melalui Pulau Pinang,” katanya.

Bermula Khamis lalu, penduduk Thailand dibenarkan untuk menanam pokok ganja di rumah untuk kegunaan sendiri sebagai bahan makanan, minuman atau dihisap.

Ia sekaligus menjadikannya negara Asia pertama ‘menghalalkan’ penanaman ganja dengan matlamat menjadikannya tanaman komersial yang memacu industri pelancongan.

Thailand secara tradisinya menggunakan ganja sebagai penahan sakit dan merawat keletihan, membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan pada 2018. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast