Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Dakwaan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Sanusi Md Nor terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu awalkan pilihan raya umum kerana takut dipenjara merupakan satu tuduhan berat.

Ketua Pengerangan UMNO, Shahril Hamdan Sufian berkata, tuduhan itu bukan sahaja melibatkan Ahmad Zahid tetapi juga terhadap integriti hakim dan institusi kehakiman negara.

“Bila sahaja PRU berlangsung dan jika BN menang apa yang cuba DS Sanusi katakan? Bahawa disebabkan BN menang, tiba-tiba hakim akan dipaksa tukar fikiran?

“Kalau itu tuduhannya sebut sahaja tanpa berselindung kerana itu tuduhan amat berat bukan kepada Ahmad Zahid tetapi terhadap integriti hakim dan institusi kehakiman negara,” kata Shahril Hamdan.

Beliau menegaskan, walaupun ketika ini perdana menteri merupakan ahli UMNO namun kes yang melibatkan pemimpin parti itu masih lagi berlangsung di mahkamah.

Beliau menambah, tidak ada jaminan bahawa BN akan menang dalam pilihan raya jika ia dilaksanakan lebih awal.

“Sekarang pun, Perdana Menteri dari UMNO. Berdasarkan keputusan MKT UMNO, kalau BN menang, Perdana Menteri sama. Kes masih berjalan. Jadi apa kena mengena PRU awal dengan soal kes mahkamah?

“Tambahan lagi, tiada jaminan BN akan menang PRU. Suara yang menantikan PRU dan mandat baru ada dikalangan ahli parti dan rakyat. Mereka tiada kes mahkamah,” katanya.

Shahril Hamdan berkata, Ahmad Zahid tidak pernah mendesak supaya diadakan dengan segera.

Cumanya menurutnya, Ahmad Zahid hanya meminta supaya PRU tidak dilaksanakan terlalu lewat atas pertimbangan strategik untuk parti itu dan negara.

“Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, beliau hendak parti menang dan hendak Malaysia mendapat manfaat dari keadaan politik yang lebih stabil tanpa persoalan PRU membayangi.

“Apapun, soal ini akan dibincangkan oleh top 5 parti. Parti lain tak perlu masuk campur tentang perbincangan dalaman UMNO,” katanya.

Sebelum ini sebuah portal melaporkan, Sanusi berkata, Malaysia akan hancur sekiranya rakyat memilih ‘satu atau dua pemimpin gila kuasa’ yang hanya mahu menyelamatkan diri mereka untuk mentadbir negara.

Sanusi berkata, Ahmad Zahid yang kini berdepan perbicaraan kes rasuah bertegas mahu mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal kerana takut dipenjarakan.

“Dia takut masuk penjara kalau PRU lambat. Talian hayat dia untuk elak masuk penjara hanyalah cuba merebut kuasa untuk memastikan kluster mahkamah dapat diselamatkan daripada hukuman melalui campur tangan kerajaan baharu,” kata Menteri Besar Kedah itu.

Sanusi berkata, Ahmad Zahid juga mengadakan Perhimpunan Agung Khas Umno untuk menangguhkan pemilihan parti kerana takut hilang jawatan.

Sebelum itu Ahmad Zahid, menyindir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang Hadi kerana mendakwa hanya mereka yang kemaruk kuasa mahu pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat walaupun rakyat menghadapi pelbagai masalah ekonomi ketika ini. – MalaysiaGazette