KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) yang sepatutnya mendakwa tiga pegawai Mara Corporation. Sdn Bhd. (Mara Corp.) ‘bakal’ menggugurkan kes terhadap mereka.
Sumber mendakwa, walaupun sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki mendedahkan tiga pegawai berkenaan akan dituduh di mahkamah namun terdapat kemungkinan AGC tidak meneruskan pendakwaan.
Sumber berkata, laporan bersama lampiran bukti sudah diserahkan kepada AGC pada awal April lalu dan sehingga kini tiada pendakwaan dilakukan.
“Kita ada dengar berita kononnya kes itu telah digugurkan atas alasan tidak ada bukti mencukupi walaupun SPRM sudah hantar laporan. Mungkin gugur kes ini walaupun terdapat bukti kukuh,” katanya.
Pada 30 Mac lalu, Azam melahirkan keyakinan bahawa tiga pegawai MARA Corp yang disiasat pihaknya kerana disyaki salah guna kuasa dan salah urus syarikat akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.
“SPRM sudah melengkapkan siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan salah urus MARA Corp dan kemukakan kepada AGC sebelum ini.
“Oleh itu kita akan tunggu keputusannya tidak lama lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette