KUALA LUMPUR – Isu harga dan kekurangan barangan keperluan utama di pasaran tidak akan berakhir selagi ada pihak yang tidak bertanggungjawab dibiarkan berleluasa tanpa tindakan tegas.
Ini kerana pihak tidak bertanggungjawab itu akan sentiasa mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan dengan menjadikan apa jua kelemahan yang terdapat pada sistem atau peraturan sedia ada sebagai jalan untuk mereka mengawal harga.
Sehubungan itu, Setiausaha Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Perak, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz mahu kerajaan segera mencari jalan penyelesaian baharu dengan merombak sistem atau peraturan sedia ada termasuk dari segi penguatkuasaan agar permasalahan berkenaan tidak lagi berulang.
Menurutnya, setiap tahun ada sahaja permasalahan yang berlaku berkaitan harga barangan dan pada masa sama timbul pula kekurangan barangan keperluan.
Beliau berkata, rakyat sudah bosan dengan isu-isu tersebut dan akan menganggap kerajaan gagal menyelesaikannya berikutan merasakan mereka sebagai rakyat bawahan amat terkesan dengan permasalahan tersebut.
Dalam hal ini, satu pelan tindakan yang lebih berani serta drastik perlu dirangka serta dikuatkuasakan yang melibatkan rombakan sistem sedia ada, katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Zulkifli, rakyat sudah tidak mahu mendengar lagi permasalahan yang berlaku kerana kerajaan sering menjanjikan keperluan barangan utama adalah mencukupi dan harga siling pun telah ditetapkan termasuk barangan seperti ayam, minyak masak dan sebagainya.
“Dalam hal ini, kita lihat ada sahaja pihak seperti orang tengah yang sering mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
“Apabila barangan keperluan berkurangan di pasaran yang secara langsung menyebabkan harga naik, kita lihat seolah-olah orang tengah berjaya mengawal harga barangan keperluan utama.
“Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan. Walaupun ada langkah memansuhkan lesen import, tetapi rakyat menganggap semua itu belum mencukupi untuk menangani masalah ini,” katanya.
Zulkifli berkata, selain penguatkuasaan tegas dan berani, langkah lain yang boleh difikirkan ialah membuka peluang perniagaan yang lebih luas seperti menghasilkan sendiri barangan keluaran tempatan termasuk penyediaan makanan untuk haiwan ternakan.
“Kita tahu ada juga alasan barangan makanan haiwan mahal menyebabkan harga barangan tinggi, tetapi ini tidak bermakna kita tidak dapat selesaikan masalah berkenaan,” katanya.
Dalam hal ini, pengemblengan melibatkan pihak semua pihak termasuk antara kementerian-kementerian terbabit, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan pengguna dan pihak universiti, amatlah penting.
“Kita ada universiti yang pakar dalam kajian menghasilkan makanan ternakan dan sebagainya, kita ada NGO dan persatuan pengguna yang sedia membantu kerajan.
“Jika semua ini digembleng, yakinkan bahawa kerajaan yang selama ini menghadapi kekangan tertentu seperti kekurangan kakitangan dan sebagainya, akan dapat menyelesaikan isu harga barangan keperluan serta yang berkaitan dengannya,” katanya.
Zulkifli berkata, isu harga barangan tidak akan selesai selagi permasalahan di peringkat ‘akar umbi’ tidak diselesaikan terlebih dahulu.
Beliau yakin bahawa kerajaan telah melakukan yang terbaik selama ini namun dalam situasi tertentu usaha itu perlu dilipatgandakan lagi supaya rakyat tidak terus terkesan selain isu terbabit dalam ditangani sepenuhnya.- MalaysiaGazette