PUTRAJAYA – Bilangan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) masih tidak dapat menampung keperluan sedia ada, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Katanya, situasi itu dikhuatiri bertambah kritikal pada masa akan datang dengan nisbah seorang PPP kepada 1,000 penduduk.
“Walau pun jumlah PPP di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada akhir Disember 2021 adalah 22,257 dengan nisbah 1:1467 (profession penduduk) tetapi sasaran nisbah ditetapkan adalah 1:1000.
“Keadaan ini jelas menggambarkan tenaga PPP masih belum menepati bilangan yang diperlukan. Dengan penambahan fasiliti, kepakaran dan sub kepakaran keperluan PPP perlu diberikan perhatian,” katanya ketika berucap pada pada Persidangan Kebangsaan Pembantu Perubatan 2022, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Dalam pada itu, Khairy berkata, kerajaan sentiasa berusaha bagi memastikan keperluan tenaga PPP diambil perhatian.
Malah perbincangan ke arah itu akan terus diusahakan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awan (SPA) bagi mewujudkan perjawatan tambahan bagi memenuhi serta menepati keperluan ke arah menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti, ujarnya.
“Saya difahamkan seramai 4,328 graduan Institusi Latihan KKM yang masih berjawatan kontrak, justeru KKM akan berusaha supaya graduan PPP ini akan diberi lantikan tetap secara berperingat secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Khairy memberitahu, KKM perlu mengkaji semula norma perjawatan agar sejajar dengan perkembangan terkini perkhidmatan kesihatan.
Katanya, unjuran jawatan adalah relevan dan bersesuaian sama ada berasaskan penduduk ataupun pesakit.
“Norma ini sangat penting sebagai panduan perancangan yang berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette