LONDON – Bekas bekas bintang tengah Manchester United, Nemanja Matic akan menjalani ujian perubatan di Itali hari ini dan seterusnya akan menandatangani kontrak sebagai pemain AS Roma yang baharu.
Wartawan pakar perpindahan, Fabrizio Romano memberitahu, pemain Serbia itu menyertai La Magica untuk tempoh setahun dengan pilihan lanjutan satu tahun.
Pengurus Roma, Jose Mourinho sebelum ini berminat mendapatkan Matic bermain dalam skuad kendaliaan nya dan kini perpindahan pemain berusia 33 tahun itu bakal menjadi realiti.
Matic menyertai United selama lima tahun selepas berhijrah dari Chelsea dengan harga perpindahan £40 juta (RM221 juta) pada 2017.
Walaupun tidak memenangi sebarang trofi bersama Red Devils, pemain berusia 33 tahun itu telah membuat lebih 180 penampilan untuk kelab itu sejak tiba di Old Trafford.
“Selepas berfikir panjang, saya telah memutuskan bahawa musim ini adalah musim terakhir saya bersama United. Saya telah memaklumkan kepada lembaga pengarah, pengurus dan pemain tentang keputusan saya.
“Ia merupakan satu penghormatan dan keistimewaan yang besar untuk bermain di kelab hebat ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada peminat atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.
“Saya kini akan memberikan segala-galanya sehingga akhir musim untuk membantu rakan sepasukan sehabis daya,” tulisnya di Instagram.
Matic masih mempunyai baki lebih setahun dalam kontrak bersama United, yang mana akan tamat pada penghujung musim depan. – Agensi