Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan tidak menuduh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan kerana kepentingan peribadi.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tuduhan tersebut hanya merendahkan martabat pemimpin Pas Kedah itu sehingga dilihat tidak bermaruah.

Level beliau sebagai pemimpin nombor satu di Kedah tapi bila dia bercakap banyak macam sampah.

“Dia tuduh Presiden UMNO sebagai geng kluster mahkamah mahu buat PRU-15 cepat sebab takut kena penjara padahal Sanusi lupa dia juga sekarang adalah geng kluster mahkamah sebab dia sedang berdepan tuduhan jenayah fitnah yang difailkan oleh bekas Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan Sanusi mendakwa Ahmad Zahid yang kini berdepan perbicaraan kes rasuah bertegas mahu mengadakan pilihan raya umum lebih awal kerana takut dipenjarakan.

Tambah Nur Jazlan, tuduhan Sanusi sebenarnya tidak berasas malah Menteri Besar Kedah itu sendiri yang mahu melambatkan PRU-15 kerana takut dalam kes fitnahnya seterusnya hilang kelayakan untuk menjadi calon.

“Sanusi jangan beria sangat panggil orang kluster mahkamah kalau diri sendiri serupa saja. Bak kata pepatah, tepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri,” katanya.

Nur Jazlan juga menempelak Sanusi dengan bangganya mengatakan Pas boleh mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) jika mereka terus bersama Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin dia lupa atau memang sudah nyanyuk, sudah dua kali Pas bersama PN tewas dan bungkus terus dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Melaka dan Johor.

“Sanusi jugalah yang jadi Pengarah Pilihan Raya Pas bagi kedua-dua PRN itu. Jadi dia memang sudah ada dua cop kalah di dahinya tapi masih nak sembang kencang,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa hairan walaupun Sanusi gagal sebagai ‘panglima perang’ dalam dua PRN namun Pas masih tidak mahu menggantikan beliau.

“Memang betul cara Pas, mereka pilih pemimpin bukan berdasarkan prestasi tapi ikut walak. Disebabkan Sanusi ini terlalu wala (setia) pada Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebab itulah dia boleh kekal lagi dalam barisan kepimpinan Pas.

“Semua dakwaan yang dibuat Pas terutamanya oleh presiden mereka dan Sanusi sebenarnya untuk menutup ketakutan mereka dan bayang-bayang sendiri,” katanya.

Katanya lagi, Pas kini tiada lagi kekuatan bahkan imej mereka terjejas teruk ditambah pula reputasi semakin merudum malah prestasi pemimpin sedia ada dalam kerajaan semakin hancur.

“Pas tahu rakyat sudah muak dengan lakonan warak dan pekung mereka sudah terlondeh. Sebab itu, mereka cuba nak melengahkan PRU-15 supaya dapat menutup kelemahan sekarang ini.

“Sanusi sendiri sedar kepimpinan dan kedudukan dirinya serta Pas semakin tergugat di Kedah. Sudah lama kemarahan rakyat negeri itu meletus kerana Sanusi dan pasukannya gagal membangunkan Kedah.

“Rakyat Kedah sudah nampak Menteri Besar mereka lebih banyak berpolitik dan banyak bersembang daripada buat kerja serta bawa pembangunan di negeri itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast