Ribuan penunjuk perasaan sertai perhimpunan anti kerajaan pada tahun 2021. Foto Getty Images

HAVANA – Cuba menjatuhkan hukuman ke atas 381 orang yang mengambil bahagian dalam protes anti-kerajaan pada musim panas lalu – dengan sebahagiannya dipenjarakan sehingga 25 tahun.

Pejabat peguam negara berkata, 297 tertuduh telah menerima hukuman penjara kerana jenayah hasutan, kekacauan awam, serangan atau rompakan.

Selebihnya diberi pilihan untuk melengkapkan khidmat masyarakat

Protes terbesar dalam beberapa dekad itu berlaku di tengah-tengah krisis ekonomi yang teruk dengan penunjuk perasaan menyuarakan kemarahan terhadap kenaikan harga serta kekurangan makanan dan ubat-ubatan.

Perhimpunan awam tanpa kebenaran adalah haram di Cuba dan lebih 1,000 orang telah ditangkap.

Mereka yang dijatuhkan hukuman termasuk “16 orang remaja berumur 16 hingga 18”, menurut pendakwa raya negara itu.

Pada 2021, Presiden Cuba Miguel Díaz-Canel menyalahkan Amerika Syarikat – yang mempunyai sejarah ketegangan selama beberapa dekad dengan Cuba – atas kemelut itu.

Beliau mendakwa penunjuk perasaan adalah ‘askar upahan’ yang dibayar untuk menggugat kestabilan negara dan menyeru penyokong untuk keluar dan mempertahankan revolusi – merujuk kepada pemberontakan 1959 yang membawa kepada pemerintahan komunis di negara ini. – BBC