PUTRAJAYA – Sebanyak 292 kes dari 1,283 kes perbicaraan rasuah yang dikendalikan di Mahkamah Sesyen di seluruh Malaysia telah selesai dibicarakan sejak 2021.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, dari jumlah itu, sebanyak 266 berakhir dengan sabitan atau 91.1 peratus.
“Ini menunjukkan peratusan sabitan yang amat membanggakan. Memang ada peningkatan kalau berdasarkan kadar terbaru ini, peningkatan amat tinggi secara convention.
“Di bawah United Nations Anti Corruption Conference, mereka sebenarnya menggalakkan kadar sabitan itu sekitar 75 peratus tapi kita mencapai 91 peratus itu pencapaian tertinggi setakat ini,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Selain itu, Azam berkata, sebanyak 121 dari 152 kes pelucuthakan harta yang dikendalikan di mahkamah telah diselesaikan.
“Sebanyak 117 kes atau 96.7 peratus memihak kepada pendakwa raya dan empat kes atau 2.2 peratus tidak memihak kepada pendakwa raya.
“Jumlah aset yang dilucuthak dan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia pada tahun lepas adalah RM5.1 billion di mana 99.57 peratus adalah dari 1MDB,” katanya.
Katanya lagi, kejayaan SPRM itu disumbangkan oleh beberapa faktor termasuk penubuhan mahkamah khas berkenaan rasuah membolehkan banyak kes dipercepatkan dan hakim-hakim memahami jelas tentang undang-undang rasuah.
“Keberkesanan siasatan, pendakwaan, maklumat yang kita terima daripada orang ramai dan pendekatan yang kita gunakan dalam penyiasatan kita yang lebih bersistematik turut menyumbang kepada peningkatan sabitan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette