Wan Abdul Rahim Wan Abdullah

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah tidak menduga sejak meninggalkan Pas, beliau kehilangan ramai kawan.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dari 1995 hingga 2008 itu berkata, tindakan sahabatnya menjauhkan diri dan tidak lagi bertegur sapa hanya kerana beliau bertukar parti.

“Tidak pernah terfikir bahawa tindakan berhijrah ke Amanah pada tahun 2015 telah mengakibatkan sahabat-sahabat sejak belum merdeka telah menjauhkan diri dan tidak lagi bertegur sapa.

“Sedangkan, saya hanya bertukar parti bukan bertukar agama pun. Saya cuma beralih tapak perjuangan dengan terus kekalkan dasar Islam sebagai asas utama,” katanya meluahkan kekesalan itu menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Wan Abdul Rahim atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Wan Rahim dengan nada kecewa mempersoalkan apakah persahabatan yang terjalin selama lebih 60 tahun terlerai hanya semata-mata kerana berlainan pegangan kepartian?

Ujarnya, ajaran apakah yang diserapkan oleh orang atasan sehingga kemelut sedemikian berlaku.

Sepanjang berjuang dalam Pas, beliau menjawat jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Bharu selain pernah bertanding melawan Tengku Razaleigh Hamzah pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1986 di kerusi Parlimen Gua Musang.

Dalam pertandingan itu, Cikgu Wan Rahim kalah sebelum menebus kekalahan itu di kerusi Parlimen Kota Bharu pada 2008 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Senator Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh.

Menurut bekas Pengerusi Lembaga Kenaf Negara itu, beliau akhirnya akur dengan situasi  pegangan kepartian sahabat yang menjauhkan diri itu begitu kukuh sehingga sanggup ‘bercerai’ walaupun tiada perbalahan.

“Semoga Allah memberikan panduan kepada pihak-pihak berkenaan. Semoga kita semua selamat dunia dan akhirat,” katanya.

Wan Abdul Rahim yang kini sudah mencecah usia 70 tahun masih aktif dalam politik Amanah, walaupun tidak lagi mengetuai parti itu di Kelantan.

Namanya menjadi kontroversi pada 2002 apabila mengahwini seorang wanita berusia 22 tahun warganegara Kemboja, Hassena Osman.

Beliau bagaimanapun didapati bersalah mengahwini wanita itu di negara berkenaan tanpa mendapat kelulusan dari Majlis Agama Islam Kelantan dan berhadapan dengan hukuman tiga hari penjara serta denda sebanyak RM1,800. – MalaysiaGazette