Gambar hiasan

KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang mengeluarkan saman terhadap 14 buah kenderaan yang dikesan menggunakan lampu ‘strobe light’ dalam Ops Pengarah JPJ Negeri Pahang malam tadi.

Kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan sebanyak 699 kenderaan dalam operasi yang diadakan selama 3 jam di Jalan Tanjung Lumpur, di sini.

JPJ Pahang mengeluarkan 159 notis ke atas 80 buah kenderaan atas pelbagai kesalahan yang mana 141 membabitkan notis saman JPJ (P) 22.

Kredit : JPJ Negeri Pahang

Dalam operasi sama, sebuah motosikal turut disita atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh.

Pengarah JPJ Pahang, Tuan Kamarul Iskandar Nordin berkata, operasi terbabit menyasarkan kesalahan berkaitan nombor pendaftaran, penggunaan ‘strobe light’ dan pelesenan kenderaan dan pemandu.

“Masih ramai yang tidak mengendahkan larangan penggunaan ‘strobe light’ pada kenderaan. Justeru, operasi seumpama ini akan terus diadakan untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette