Umat Islam berhimpun beramai-ramai membantah kerajaan India dan dua pemimpin parti BJP yang menghina Rasulullah SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah menerusi debat minggu lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di hadapan Kedutaan India, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2022.

KEPELBAGAIAN merupakan aturan (sunnatullah) yang perlu diuruskan dengan baik dan berhikmah supaya ia mampu menyumbang kepada keharmonian dan kerukunan sosial yang utuh dan mapan. Allah SWT menciptakan manusia dengan kepelbagaian latar belakang yang berbeza antara satu sama lain. Kepelbagaian tersebut merangkumi perbezaan budaya, agama, adat dan sebagainya. Di Malaysia, kepelbagaian ini menjadi satu keunikan disebabkan wujudnya interaksi sosial yang harmoni antara rakyat yang dicapai semenjak kemerdekaan lagi. Usaha untuk memupuk keharmonian dan perpaduan ini perlulah sentiasa giat dijalankan dan difahami oleh setiap lapisan dan strata masyarakat.

Kegagalan untuk memahami serta menghayati perkara tersebut akan membawa kepada konflik sosial yang merosakkan keharmonian, merapuhkan fabrik sosial serta membawa kepada perbalahan dan perpecahan sesama kelompok dalam sesebuah masyarakat. Hal ini boleh dilihat melalui beberapa siri sorotan isu yang berlaku sebelum ini seperti kes penghinaan Nabi Muhammad SAW dengan menggunakan karikatur oleh Charlie Hebdo dan respons Presiden Perancis yang mempertahankan tindakan seorang guru menghina agama Islam. Beberapa kes penghinaan agama juga turut direkodkan berlaku di Malaysia.

Antara isu yang terkini adalah melibatkan dua orang ahli politik Parti Bharatiya Janata (BJP) di India yang menghina Islam dalam satu siaran perdebatan di negara tersebut. Kesemua isu tersebut telah menimbulkan reaksi negatif serta membangkitkan kemarahan umat Islam serta kelompok yang dihina sekali gus meregangkan ikatan perpaduan antara agama dalam kalangan masyarakat. Ini jelas menunjukkan sensitiviti agama perlulah sentiasa dipelihara dan masyarakat perlulah saling hormat sesama golongan yang berlainan agama dengan mereka.

Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap (syumul) telah menetapkan garis panduan yang jelas untuk umatnya hidup dalam masyarakat yang majmuk. Secara asasnya dalam surah al-An’ām ayat 108, Islam melarang umatnya sendiri menghina agama dan sembahan kaum lain. As-Sobuni dalam tafsirnya “Sofwatul al-Tafasir” menyeru agar umat Islam tidak menghina agama lain kerana ditakuti bahawa mereka pula akan mencela Allah SWT dengan melampau disebabkan ketidaktahuan mereka tentang kebesaran Allah SWT. Muhammad bin Umar bin Waqidi dalam bukunya “al-Maghazi” mencatatkan bahawa ketikamana baginda mendapat tahu bahawa para sahabat merampas lembaran Taurat yang dipercayai telah diselewengkan oleh kaum Yahudi, baginda kemudiannya memerintah para sahabat untuk memulangkan semula kitab tersebut sebagai satu bentuk penghormatan dan kebebasan beragama.

Masih banyak lagi contoh-contoh yang telah dikemukakan oleh baginda Rasulullah SAW dalam berinteraksi dengan masyarakat yang berbeza agama, budaya dan kaum. Tindakan dan ajaran baginda ini bukan sahaja terpakai kepada umat Islam bahkan boleh dijadikan tauladan kepada masyarakat yang bukan beragama Islam ketika berhadapan dengan umat Islam mahupun agama lain. Justeru, setiap struktur sosial di negara ini perlulah memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk melestarikan keharmonian dan keamanan antara agama dan kaum yang telah terbina semenjak berzaman ini oleh generasi terdahulu.

Peranan utama perlulah dimainkan oleh kerajaan ataupun pihak berautoriti dengan sebaiknya untuk memastikan perbuatan yang menyentuh sensiviti agama Islam tidak berulang. Bertepatan dengan ajaran Islam, seseorang individu juga tidak patut mencetuskan hinaan balas terhadap mereka yang menghina agama yang kita anuti. Ini kerana tindakan sedemikian tidak pun menghasilkan jalan penyelesaian bahkan mengeruhkan lagi keadaan dan suasana keharmonian. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang disebut sebagai al-darar yuzal yang bermaksud semua pintu kemudaratan perlulah dihapuskan.

Daripada perspektif maqāṣid al-sharī’ah pula, menghindarkan diri daripada kemudaratan dan perpecahan adalah penting untuk memenuhi tuntutan syarak dalam menjaga agama (Islam) dan nyawa. Sebagai masyarakat, setiap kelompok terutamanya agamawan harus giat untuk memperkasakan pemahaman Islam di kalangan rakyat. Penyebaran ilmu-ilmu kemasyarakatan yang dikembangkan melalui tradisi Islam seperti Fiqh al-Ta’ayush (fiqh hidup bersama dengan bukan Islam), maqāṣid al-sharī’ah dan sebagainya wajar dijadikan isi pengisian di kebanyakan institusi masyarakat.

Usaha ini tidak terhenti hanya kepada kelompok agamawan sahaja. Malah, menjadi suatu kewajipan bagi ibu bapa untuk memastikan ahli keluarga terutamanya anak-anak mereka mendapat didikan dan pemahaman yang baik tentang tatacara hidup bermasyarakat. Ini kerana keluarga merupakan unit asas yang penting untuk menentukan nilai yang dipegang oleh masyarakat dalam sesebuah negara.

Luqman Hakim Syahbudin
Jabatan Siyasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya &

Muhammad Safwan Harun
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast