MADRID – Sepanyol kini berada di tengah-tengah gelombang panas terburuk dalam tempoh 20 tahun lepas, dengan semua kecuali dua daripada 17 Komuniti Autonomi negara itu dalam keadaan berjaga-jaga terhadap suhu yang sangat tinggi.
Sebahagian di selatan Sepanyol, seperti wilayah Andalusia dan Extremadura, mengalami suhu melebihi 40 darjah celcius, dengan Cordoba mencatatkan suhu 43 darjah celcius dan 41 darjah celsius dilaporkan di Badajoz.
Di ibu negara Madrid, termometer mencecah lebih 35 darjah, dengan keadaan dijangka kekal sehingga permulaan hujung minggu.
”Ia bukan perkara biasa untuk mengalami gelombang haba yang melampau pada masa ini dalam tahun ini,” kata Ruben del Campo, jurucakap Agensi Meteorologi Sepanyol (AEMET).
Tambahnya, ia adalah gelombang haba paling kuat pada pertengahan Jun dalam tempoh 20 tahun yang lalu.
AEMET memberi amaran terhadap risiko “melampau” kebakaran hutan yang disebabkan oleh suhu 7-12 darjah melebihi purata untuk sepanjang tahun.
“Gelombang haba awal yang memecahkan rekod, muncul selepas satu lagi gelombang haba kurang dari sebulan lalu amat membimbangkan,” kata Menteri Peralihan Ekologi Teresa Ribera selepas mesyuarat Kabinet.
Sebahagian daripada Sepanyol telah mencatatkan suhu tertinggi sejak permulaan abad dan salah satu musim sejuk paling kering dalam rekod, hingga menyebabkan takungan air Sepanyol berada pada paras rendah yang membimbangkan.
Laman web embalses.net pada hari Selasa melaporkan takungan air Sepanyol kini berada pada purata kapasiti hanya 48.17 peratus, 10 peratus di bawah paras pada masa yang sama pada 2021 dan 20 peratus di bawah purata 10 tahun lalu. – Xinhua