MELAKA – Seramai 257 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Melaka memperoleh gred cemerlang A+, A dan A- dalam semua ujian mata pelajaran yang diduduki.
Exco Pendidikan negeri, Datuk Rais Yasin berkata, daripada jumlah itu, dua calon telah memperolehi A+ dalam semua mata pelajaran diambil pada peperiksaan yang berlangsung dari 8 Februari hingga 24 Februari dan 2 Mac hingga 29 Mac lalu.
Menurutnya, keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus berbanding SPM 2020 yang menyaksikan hanya 215 pelajar atau 1.88 peratus yang memperoleh kesemua A.
“Selain itu, dua calon kita turut meraih semua A+ dalam mata pelajaran yang diambil dan sebanyak 17 buah sekolah pula merekodkan mencapai 100 peratus layak mendapat sijil.
“Ini menunjukkan pencapaian yang membanggakan dan tentu sekali ia adalah kerana hasil usaha serta komitmen yang tinggi semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pengumuman Keputusan SPM 2021 Sekolah-Sekolah Melaka, di Bukit Baru di sini lewat petang ini.
Tambahnya, kesemua sekolah di Melaka juga mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik, sekali gus membantu peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) lebih baik dengan 0.03 mata (4.83) berbanding Gred Purata Nasional yang merekodkan 4.86.
Seramai 13,134 orang calon telah menduduki SPM 2021 di negeri ini berbanding 13,464 orang pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, 11,352 orang (86.4%) adalah calon Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 711 orang (5.4%) calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) selain 181 orang (1.4%) adalah calon sekolah swasta.
Seramai 28 (0.2%) lagi adalah calon Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan 862 (6.6%) adalah calon persendirian. – MalaysiaGazette