Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengkaji semula kebenaran lesen percuma Skim Wilayah Bebas Berniaga yang dilihat mungkin menjadi antara faktor kesesakan trafik di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, DBKL antara lain akan menyusun semula kedudukan peniaga serta aktiviti perniagaan di lokasi yang menghalang lalu lintas terutama di tepi jalan.

“Satu mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan akan diadakan bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas selain pelaksanaan kempen naik pengangkutan awam,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi hotspot banjir kilat bersama beberapa ahli parlimen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Antara ahli parlimen yang turut turun padang bersama Shahidan adalah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Lembah Pantai), Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju), P. Prabakaran (Batu) dan Lim Lip Eng (Kepong).

Shahidan berkata, usaha untuk mengatasi kesesakan lalu lintas juga akan dijalankan secara bersepadu dengan kementerian dan pihak lain.

Terdahulu dalam tinjauan di empat daripada 24 lokasi hotspot banjir iaitu di Jalan Ampang, Jalan Rahmat, Jalan Kasipilay dan Jalan Duta Mas 2, Shahidan turut menerangkan berkenaan inisiatif interim dijalankan bagi mengatasi banjir kilat, antaranya penggunaan beg pasir dan pam air.

Skim Wilayah Bebas Berniaga diperkenal pada 15 November 2020 bagi membolehkan orang ramai di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai secara percuma, dan setakat ini ia dilanjutkan hingga hujung bulan ini.

Sementara itu Shahidan sekali lagi menafikan dakwaan bahawa DBKL melantik sebuah syarikat menggantikan 200 tiang lampu di Lembah Klang yang melibatkan kos yang terlalu tinggi.

“DBKL hanya menerima bayaran sewaan (penempatan tiang), urusan itu dibina dan dibiayai sebuah syarikat telco… lantikan sub kontraktor dan sebagainya adalah urusan mereka,” katanya. – Bernama