Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas Pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Sri Damansara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa, beliau tidak tahu kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ada berbincang mengenai kedudukannya sebagai Perdana Menteri dalam mesyuarat parti itu, 8 Jun lalu.

Katanya, beliau ada mendengar mengenai khabar angin itu, tetapi telah dinafikan oleh Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Saya tak tahu sebab saya tak masuk dalam mesyuarat itu. Jadi, saya tak tahulah apa berlaku.

“Khabar angin ada mengatakan, ada berbincang, tetapi telah dinafikan oleh Ahmad Faizal selepas khabar angin itu tersebar.

“Dia (Ahmad Faizal) kata tak ada perbincangan dalam mesyuarat itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Sri Damansara, dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai khabar angin yang bertiup kencang mengatakan kepimpinan tertinggi PPBM ada berbincang mengenai kedudukannya sebagai Perdana Menteri pada mesyuarat itu, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yakin Pas, GPS dan Pakatan Harapan (PH) tidak membincangkan mengenai jawatannya selepas menandatangani MoU tahun lalu.

Semua parti itu, katanya, telah menyatakan sokongannya kepada kerajaan sekarang sehingga tamat penggal Pilihan Raya Umum (PRU) 14.

Mengenai tarikh PRU ke-15, beliau menegaskan, tidak mahu berbincang mengenainya kerana akan menyebabkan berlaku ketidakstabilan politik.

“Saya dah beritahu, tak ada seorang pun Perdana Menteri sebelum ini membincangkan tarikh PRU secara terbuka di khalayak ramai.

“Zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Barisan Nasional (BN) dahulu pun bila ditanya, dia akan jawab ‘saya belum dapat ilham’.

“Jadi, semua PM tak bincang PRU di khalayak ramai. Ini akan beri kesan kepada kestabilan politk kalau kita terlalu bincangkan PRU. Tapi, PRU tetap akan diadakan, setiap hari pilihan raya semakin hampir,” katanya. – MalaysiaGazette