KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori perlu merangkumi semua aspek dan selari dengan keadilan sejagat.
Penasihat Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Tan Sri Musa Hassan berkata, pemansuhannya akan membolehkan hakim memilih sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman lain yang lebih sesuai dengan kesalahan yang disabit terhadap pelaku.
“Hukuman mati ini masih wujud tetapi hakim mempunyai budi bicaranya sendiri dalam menjatuhkan hukuman kepada seseorang pesalah itu.
“Sebagai contoh, sekiranya membunuh seorang ketua negara adalah patut hukuman mati mandatori dijatuhkan terhadap pesalah. Jika kematian disebabkan kerana menyelamat seseorang itu dari menjadi mangsa jenayah tak patut dihukum mati tetapi dikenakan hukuman penjara sahaja,” katanya yang juga bekas Ketua Polis Negara kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Tambah beliuau, tanpa hukuman yang berat maka penjenayah tidak akan takut melakukan jenayah.
Menurut Musa, hak dan perjuangan untuk mempertahankan hak asasi kemanusian merupakan tanggungjawab semua individu. – MalaysiaGazette