KUANTAN – Sistem Keselamatan Automotif, ‘Starter Bypass + Alcohol Detector’ hasil inovasi kumpulan pensyarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Pulau Pinang diumumkan sebagai juara keseluruhan pertandingan Innovation, Product Launching and Entrepreneurship (INNOPLEN) 2022 peringkat Kebangsaan hari ini.

Mereka membangunkan peralatan anti kecurian kenderaan serta mencegah pemandu mabuk daripada memandu kenderaan.

Menurut ketua kumpulan pensyarah itu, Ts. Jasni Mohd Yusoff, inovasi yang dihasilkan merupakan inisiatif untuk membantu mengurangkan kes-kes kecurian kenderaan dan pemandu mabuk yang meragut nyawa seperti yang sering dilaporkan media sejak akhir-akhir ini.

“Sebab kejadian itu berlaku di kolej kami. Mengambil pendekatan itu, kita selesaikan isu itu dan kita tambah baik hasil projek untuk kita kesan pemandu mabuk.

“Bila mereka nak mula memandu dalam keadaan mabuk, maklumat akan dihantar kepada telefon pintar dan ahli keluarga akan diberitahu,” katanya ketika ditemui selepas majlis Penutup INNOPLEN 2022 di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), di sini, hari ini.

Ts. Jasni Mohd Yusoff (kanan) dan Mod Irwan Fazri Che Mohd Noor mewakili Kolej Komuniti Kepala Batas, Pulau Pinang menerima hadiah Juara Keseluruhan Innovation, Product Launching and Entrepreneurship (INNOPLEN) 2022 di Dewan Sri Mahkota Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) hari ini.

Majlis disempurnakan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Riam a/p Chau Mai yang mewakili Ketua Pengarah jabatan itu.

Selain Jasni yang merupakan Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, kumpulan pensyarah itu turut dianggotai Khairulnizan Abdul Kadir, Mohd Zaki Abdul Manap, Mod Irwan Fazri Che Mohd Noor dan Fatima Saidin.

Mengulas lanjut, Jasni berkata, dengan inovasi yang dihasilkannya, sesebuah kenderaan tidak boleh dihidupkan apabila mereka cuba memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Sebab ia akan mengesan tahap alkohol yang diambil oleh pemandu dan ia akan berhenti dan akan menghantar isyarat kepada penerima dan memaklumkan bahawa pemandu itu dalam keadaan tak boleh memandu,” ujarnya.

Ditanya mengenai hala tuju inovasi terbabit, Jasni memberitahu, pasukan itu akan mengemaskini sistem karbon monoksida pada peralatan tersebut.

“Kita biasa dengar penumpang meninggal dunia dalam kenderaan kan? Kita akan masukkan perkara itu (sistem berkenaan karbon monoksida) untuk ditambah baik dan insya-Allah hasil daripada tambah baik itu nanti, kita akan masukkan dalam inovasi seterusnya,” katanya.

Ts. Jasni Mohd Yusoff yang ditemui selesai Majlis Perasmian Penutup Program INNOPLEN 2022 hari ini.

Kumpulan dari Kolej Komuniti Kepala Batas itu menewaskan 75 peserta INNOPLEN 2022 lain dari 34 institusi pendidikan seluruh negara yang bertanding dalam tiga kategori iaitu Kategori Inovasi Produk Fizikal, Kategori Inovasi Produk Digital dan Kategori Inovasi Pendidikan.

Selain Juara Keseluruhan, inovasi kumpulan tersebut turut diumumkan sebagai Juara bagi Kategori Inovasi Produk Fizikal.

Juara bagi Kategori Inovasi Produk Digital dimenangi Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Kuantan melalui inovasi T-Veronic : Fish Cage Bamboo Creation manakala Politeknik Tun Syed Nasir Tun Ismail Johor pula diumumkan sebagai Juara bagi Kategori Inovasi Pendidikan melalui inovasi bertajuk Sistem Penghantaran Kuasa Rantai dan Tali Sawat.

Penerima anugerah bagi setiap kategori yang dipertandingkan dalam Program INNOPLEN 2022 bergambar bersama Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Riam a/p Chau Mai (tengah)

INNOPLEN 2022 yang dianjurkan Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan Polisas bermula pada 28 Mac lalu.

Ia diadakan bagi mencungkil bakat, menonjolkan kemahiran dan membudayakan elemen kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar dan ahli akademik politeknik dan kolej komuniti, universiti =awam dan institusi pengajian tinggi. – MalaysiaGazette