Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutan,Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bercakap kepada media selepas membuat laporan berhubung isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 16 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) meminta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mengkaji semula tata kelola Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB).

Selain itu, Shahidan turut diminta menyiasat pelantikan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Datuk Affendi Zahari.

Menurut Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menerusi carian di Jabatan Insolvensi Malaysia mendapati Affendi dipercayai telah diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Oktober 2021.

“Perkara ini menimbulkan satu lagi isu integriti PKB yang kini berada di bawah seliaan Menteri WP. Jika dakwaan berhubung status kebankrapan adalah benar, jadi Datuk Affendi Zahari tidak boleh lagi bertindak sebagai pengerusi PKB mengikut undang-undang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Kenyataan beliau dibacakan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Sebahagian penduduk memegang plakad bantahan selepas membuat laporan berhubung isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 16 JUN 2022.

Mukhriz berkata, gesaan itu perlu dilakukan segera kerana ia berada di bawah Seksyen 10 (C) Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu 2011 (Akta 733).

Pejuang turut menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membuka kertas siasatan bagi menyiasat aliran penggunaan dana oleh wakil pihak pemaju Kampung Baru (Ritzy Gloss Sdn Bhd).

Mereka mendakwa secara lisan kepada penduduk Kampung Sungai Baru di Kampung Baru bahawa syarikat telah membelanjakan hampir RM42 juta.

Katanya, siasatan itu perlu bagi mengetahui sama ada wujudnya sebarang sogokan dan salah guna kuasa antara pegawai di Kementerian Wilayah Persekutuan, PKB dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan yang terlibat dalam isu pengambilan tanah tersebut.

“Berpaksikan konsep kedaulatan undang-undang, Pejuang menyeru supaya kontroversi pengambilan tanah dan pembangunan semula Kampung Sungai Baru ditangani segera oleh kerajaan tanpa unsur paksaan atau salah guna kuasa demi kebajikan penduduk dan masyarakat Melayu secara amnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette.