Jeffrey Ng

MELAKA – Penjualan ayam segar di bawah RM10 sekilogram sudah tidak lagi relevan selepas penamatan subsidi kerajaan bermula 1 Julai ini.

Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng berkata, harga RM8.90 yang dinikmati ketika ini jika diteruskan tanpa subsidi hanya akan ‘membunuh’ pemborong mahupun peruncit.

Menurutnya persatuan sendiri berada dalam dilema kerana tanpa subsidi, harga kos ayam di peringkat ladang akan mencecah RM7 sekilogram berbanding RM5.60 sebelum ini kerana mendapat subsidi RM1.40 sekilogram dari kerajaan.

“Jadi jika mengikut logiknya bila kita terpaksa jual kepada pemborong pada harga lebih tinggi, pemborong dan peruncit juga tentu akan meningkatkan harga jualan yang tidak mungkin dinikmati pada harga subsidi RM8.90 sekilogram ketika ini.

“Inilah yang akan berlaku dan untuk itu saya rasakan harga bawah RM10 sekilogram memang sudah tidak relevan lagi,” katanya pada sidang media di sini petang ini.

Pada 1 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan tidak lagi memberi subsidi kepada penternak ayam sebaliknya menyalurkannya kepada rakyat yang memerlukan terutama golongan B40.

Menurutnya, pemberian subsidi itu yang membolehkan harga ayam kekal RM8.90 sekilogram menyebabkan kerajaan berbelanja RM720 juta untuk memastikan harga ayam tidak dinaikkan.

Mengulas lanjut Jeffrey berkata, pihak bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam masa terdekat untuk melaksanakan satu persefahaman yang tidak menjejaskan semua peringkat dalam rantaian bekalan ayam di negara ini.

“Kita nak penternak, pemborong, peruncit dan pengguna semua dapat bahagian masing-masing yang berpatutan, bukannya rendah atau tinggi.

“Jika kerajaan putuskan untuk teruskan subsidi, perlu ada satu kajian yang betul agar bekalan ayam tidak putus dan harga juga tidak membebankan pengguna,” katanya.

Untuk rekod, FLFAM adalah persekutuan yang menaungi 16 persatuan penternak ayam melibatkan kira-kira 2,400 pengusaha ladang ternakan ayam seluruh Semenanjung dan berupaya mengeluarkan kira-kira 2.2 juta ekor ayam sehari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast