Filem Lightyear .

KUALA LUMPUR – Lembaga Penapis Filem (LPF) mengesahkan tayangan filem animasi ‘Lightyear’ di Malaysia sambil menjelaskan keputusan itu dibuat pihak pengedar filem iaitu The Walt Disney Company (Malaysia) Sdn. Bhd..

LPF dalam kenyataannya memberitahu, filem tersebut telah diluluskan dengan arahan pengubahan yang sewajarnya, namun pengedar filem tidak bersetuju untuk mematuhi arahan berkenaan.

“LPF telah menonton tapis filem ‘Lightyear’ dan telah memberikan keputusan Lulus Dengan Pengubahan (LDP) berserta klasifikasi P13 pada 30 Mei lepas.

“LPF mengarahkan supaya dibuat pengubahan (potongan) bagi adegan dan disenyapkan (mute) dialog yang didapati mengandungi elemen mempromosi gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang telah melanggar aspek utama di dalam Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri 2010,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Berdasarkan kepada peruntukan Akta Penapisan Filem 2002 [Akta 620] dan Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri 2010, aspek-aspek yang akan dipertimbangkan oleh LPF sebelum meluluskan kandungan filem atau bahan publisiti filem termasuk keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya, dan ketertiban serta ketatasusilaan.

Menurut kenyataan itu, LPF akan terus komited melaksanakan tanggungjawab penapisan filem dan bahan publisiti filem yang ditayangkan atau dipamerkan untuk tontonan masyarakat umum di Malaysia.

LPF juga bertegas tidak akan berkompromi dengan kandungan filem yang mempromosi atau cuba menormalisasi unsur-unsur LGBT yang bertentangan dengan dasar negara yang tidak mengiktiraf gaya hidup LGBT.

Sebelum ini, filem Lightyear menjadi perbualan di media sosial susulan tidak akan ditayangkan di 14 negara Timur Tengah dan Asia termasuk Malaysia kerana mengandungi babak berunsur budaya songsang LGBT.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast