ATALAIA DO NORTE – Polis sudah menemui mayat manusia yang dipercayai Dom Phillips dan pakar pribumi Brazil, Bruno Pereira yang selepas seorang suspek mengaku membunuh mereka di hutan hujan Amazon.
Suspek, seorang nelayan yang bertelagah dengan Pereira berhubung usahanya memerangi penangkapan ikan secara haram di wilayah orang asli, membawa polis ke tapak perkuburan terpencil yang mana mayat sudah ditemui, kata detektif Eduardo Fontes pada sidang akhbar.
Kenyataan polis itu mengakhiri kes kehilangan Philips dan Pereira yang telah menimbulkan kebimbangan global.
Phillips, seorang wartawan bebas yang menulis untuk Guardian dan Washington Post, sedang melakukan penyelidikan untuk buku mengenai perjalanan tersebut dengan Pereira, bekas ketua suku orang asli.
Pasangan itu hilang di Lembah Javari, di barat Brazil, sebuah wilayah terpencil yang menempatkan beribu-ribu orang asli daripada lebih 20 kumpulan. Ia adalah tempat perlindungan bagi kumpulan orang asli ini, yang hidup terasing daripada dunia luar.
Wilayah ini telah diceroboh oleh nelayan haram, pemburu, pembalak dan pelombong dan polis memanggilnya sebagai laluan utama untuk pengedaran dadah.
Polis sebelum ini telah mengenal pasti suspek utama, Amarildo da Costa, dikenali sebagai “Pelado,” yang ditahan minggu lalu atas tuduhan memiliki senjata.
Abangnya Oseney da Costa, 41, atau “Dos Santos,” turut ditahan pada malam Selasa lalu.
Sementara itu, keluarga wartawan itu begitu sedih selepas seorang suspek mengaku telah mengebumikan mayat Philips dan Pereira.
Dalam satu kenyataan, mereka mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantu mencari Philips di kawasan terpencil dan berbahaya di Amazon.
Phillips, 57, dan Pereira, 41, pertama kali dilaporkan hilang pada 5 Jun.
Pereira telah memperkenalkan wartawan itu – yang sedang menulis buku berkaitan Amazon – kepada kenalan dan bertindak sebagai pemandunya apabila bot mereka gagal tiba di tempat yang dijangkakan berhampiran sempadan dengan Peru.
Operasi pencarian kedua-dua mangsa telah dikritik oleh saudara-mara dan kumpulan kempen, yang menyeru polis bertindak lebih cepat dan meluaskan skopnya.
Apabila kemarahan global semakin meningkat terhadap kehilangan kedua-dua lelaki itu, pencarian selama 10 hari diperluaskan sehingga melibatkan tentera, tentera laut dan polis.
Pada sidang akhbar lewat Rabu, polis berkata, Amarildo da Costa de Oliveira telah menjelaskan secara terperinci bagaimana kedua-dua lelaki itu dibunuh sebelum pasukan polis ke tempat mayat mereka dikebumikan.
Kubur tersebut kemudiannya digali dan polis berkata mereka akan bekerjasama dengan Interpol untuk mengesahkan identiti kedua-dua mangsa.
Detektif Eduardo Fontes berkata, suspek telah “menunjukkan tempat dia mengebumikan mayat”.
Katanya, suspek juga mengaku menenggelamkan bot yang dinaiki oleh kedua-dua mangsa itu.
Kedua-dua lelaki itu telah melakukan perjalanan singkat menyusuri Sungai Itaquai di barat Brazil sejurus sebelum mereka dibunuh.
Selain pertempuran dengan pemburu haram yang menangkap ikan yang dilindungi, mereka juga menyaksikan pencerobohan oleh pelombong emas haram, pembalak dan pengedar dadah yang menyeludup kokain dari Peru dan Colombia yang berdekatan.
Keganasan juga telah berkembang apabila kumpulan pengedar dadah mengawal laluan air kawasan itu untuk menyeludup kokain.
Wilayah itu – kira-kira saiz Portugal – terkenal dengan konflik ganas antara pelbagai kumpulan penjenayah, ejen kerajaan dan orang asli ini. Konflik inilah yang didokumentasikan oleh Phillips dan Pereira. – BBC