KUALA LUMPUR – Pereka fesyen terkenal Datuk Jovian Mandagie berkata, pembuat pakaian dalam Caely Holdings Bhd telah membuat pengumuman yang tidak benar kepada Bursa Malaysia pada 14 Jun, 2022 berhubung dakwaan pelantikannya sebagai Naib Pengerusi Eksekutif (EVC) syarikat itu.
Dalam kenyataan hari ini, Jovian berkata, beliau tidak melaksanakan sebarang bentuk dan/atau persetujuan yang menunjukkan penerimaan beliau berhubung pelantikan tersebut.
“Saya telah menghadiri mesyuarat dengan wakil Caely Holdings, Datuk Loh Ming Choon pada 13 Jun, 2022 bagi membincangkan mengenai potensi kerjasama dengan syarikat tersebut.
“Wakil tersebut turut menawarkan jawatan dalam lembaga pengarah Caely Holdings sebagai EVC syarikat, bertujuan menyusun semula dan/atau mengembangkan bahagian pakaian syarikat, yang mana, tiada persetujuan lisan yang muktamad telah dicapai,” katanya.
Jovian berkata pengumuman Caely Holdings mengenai pelantikannya adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai.
“Pengumuman tidak benar yang dibuat Caely Holdings selaku syarikat senaraian awam berhubung pelantikan saya sebagai EVC, telah mencemarkan reputasi korporat, perniagaan dan peribadi saya.