Sekumpulan penduduk flat Sutera, Taman Desa Bakti Selayang yang menggesa kerajaan segerakan projek pembagunan semula pangsapuri daif usang berusia lebih 30 tahun.

KUALA LUMPUR – “Dulu ketika saya beli Flat Sutera, di Taman Desa Bakti, Selayang sekitar 21 tahun lalu bukan sahaja kerana lokasi strategik berdekatan dengan Pasar Borong Selayang tetapi persekitarannya elok untuk saya sekeluarga.

“Tetapi sejak lebih 10 tahun kebelakangan ini, flat ini bukan sahaja sudah menjadi usang, malah menakutkan dan sungguh menjijikkan kerana dihuni oleh warga asing yang menjadikan tempat kediaman ini seperti tong sampah kerana meletakkan pelbagai barangan mereka di sekeliling bangunan”.

Itu antara luahan penduduk setempat, Ruslan Muhid kepada MalaysiaGazette yang menyifatkan flat itu seperti kawasan setinggan bandar yang buruk.

Keadaan flat berusia lebih 30 tahun dalam keadaan daif serta usang selain dibanjiri warga asing sekitar Pasar Borong Selayang.

Kata Ruslan yang juga seorang peniaga, keadaan flat yang daif dan dibanjiri pendatang asing terutama kaum Rohingya memaksanya menyewa di tempat lain.

Menurut beliau, rumah pangsa itu semakin hari semakin tidak selesa untuk diduduki oleh penduduk tempatan.

“Anda sendiri lihat sekeliling kamu, apakah kita boleh duduk di sini? Kotor tidak perlu cakaplah, macam tong sampah terbuka. Tempat ini huru-hara.

”Masa pandemik dan PKP, tempat ini antara lokasi bahaya dan terpaksa ditutup kerana terlalu ramai dijangkiti Covid-19. Memang cemas masa itu.

“Tengok sendiri bagaimana barang-barang lusuh dan terbuang diletakkan di tangga-tangga. Taman permainan kanak-kanak tidak kira berapa kali kita buat baru, mesti dirosakkan. Mereka suka ludah sana sini. Memang kotor, langsung tidak rasa selamat kita tinggal sini,” katanya.

Ruslan berkata, tahun lalu Kementerian Wilayah Persekutuan telah membuat perancangan untuk membuat projek pembangunan semula dengan hampir 100 peratus pemilik dan penduduk asal sini seramai 148 orang bersetuju untuk rancangan tersebut.

Namun, sehingga hari ini pemilik Flat Sutera masih menunggu walaupun janji yang dibuat kurang dari setahun.

“Tapi kami sudah tunggu lebih setahun, mohon kerajaan prihatin dengan keadaan kami dan segerakan rancangan ini. Tolonglah kami sungguh menderita ketika ini,” katanya dengan penuh emosi.

Ruslan Muhid, penduduk Flat Sutera.

Flat Sutera yang mempunyai lima blok itu dibina pada tahun 1990-an dan ia terletak betul-betul belakang pasar borong.

Selain Ruslan, seorang lagi penduduk yang sudah tinggal hampir 30 tahun di Flat Sutera, Yap Chee Meng, 70, juga merayu kepada kerajaan khasnya Kementerian Wilayah Persekutuan dan juga pemaju untuk segera melaksanakan projek pembangunan semula pangsapuri itu.

Kata Chee Meng, beliau yang sudah masuk dua generasi tinggal di sini terpaksa menerima hakikat kebanjiran warga asing semakin ramai tinggal di flat tersebut memandangkan keadaannya begitu daif dan usang sehingga rata-rata rakyat tempatan enggan menyewa mahupun membeli rumah tersebut.

“Rancangan kerajaan adalah dengan menjadikan tempat ini sebagai kondominium sederhana mewah berharga hampir RM400,000 denga keluasan 900 hingga 1,000 kaki persegi secara percuma. Ketika itu keadaan di sini juga akan berubah wajah, penderitaan kami akan berakhir.

“Tapi soalan saya, sehingga bila kita perlu tunggu supaya pembinaan yang dikatakan ini bermula? Lagi lambat, lagi lama kami kena tunggu, lagilah kami akan derita,” katanya.

Menurut Chee Meng, warga asing yang berada di flat ini mempunyai tabiat yang teruk kerana suka buang sampah dalam tandas sehingga tersumbat.

“Setiap kali tandas tersumbat penduduk terpaksa belanja besar untuk upah bersih. Sampah pula sana sini. Macam mana kami tak sakit, sampai bila hendak hidup begini,” rayunya lagi.

Yap Chee Meng

Sementara itu, S Muthu yang menerima baik cadangan pembangunan semula menggesa pihak berwajib untuk tidak lagi berlengah-lengah dengan karenah birokrasi.

“Saya harap sangat kepada kerajaan terutamanya Kementerian Wilayah Persekutuan untuk segerakan projek ini. Saya beli rumah di sini untuk keselesaan keluarga, saya juga sudah membuat pengubahsuaian memandangkan pada awal rumah saya yang saya beli ini dalam keadaan begitu daif, tidak sesuai untuk keluarga, anak-anak,” ujarnya.

Sumber dalam Kementerian Wilayah mendedahkan kepada MalaysiaGazette, pemaju iaitu Mandaland Developement Sdn Bhd telah berjaya mendapatkan persetujuan penduduk 100 peratus bagi pembangunan semula tidak kurang daripada tiga bulan namun masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada pihak kementerian.

Pemaju juga telah menghantar Permohonan Rasmi Perintah Pembangunan kepada Unit OSC DBKL awal tahun ini namun belum mendapat maklum balas positif.

Keadaan flat berusia lebih 30 tahun dalam keadaan daif serta usang selain dibanjiri warga asing sekitar Pasar Borong Selayang.

“Sudah tiga mesyuarat, belum ada perkembangan lagi. Kita juga tidak boleh keluarkan apa-apa secara rasmi lagi. Persatuan penduduk juga ada hantar kepada kami surat aduan bagi menyegerakan projek pembangunan semula ini.

“Projek sudah tangguh beberapa kali, pemaju juga ada bertanya. Kita akan bermesyuarat lagi minggu depan dan keluarkan kenyataan rasmi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast