Sadio Mane. Foto Daily Star.
Sadio Mane. Foto Daily Star.

LONDON – Liverpool bersetuju untuk melepaskan pemain tengahnya, Sadio Mane apabila menerima tawaran berjumlah £35.1 juta (RM188.90 juta) daripada Bayern Munich, lapor The Guardian.

The Reds akhirnya mengalah selepas menolak dua tawa­ran yang dikemukakan sebelum ini apabila menerima tawaran se­banyak £27.4 juta (RM147.46 juta), bayaran tambahan berdasarkan penampilan sebanyak £5.1 juta (RM27.45 juta) dan £2.6 juta (RM13.99 juta) lagi berdasarkan persembahan individu dan berpasukan.

Pengarah Sukan Bayern, Ha­san Salihamidzic yang menge­tuai rundingan tersebut sedar mengenai keinginan Mane untuk menyertai mereka menyebabkan kelab itu meletakkan harga ter­akhir untuk membawa masuk pemain tersebut adalah sebanyak £42.5 juta (RM228.72 juta).

Liverpool masih mampu menuai keuntungan hasil penjualan tersebut apabila mereka hanya membayar seba­nyak £31 juta (RM166.83 juta) ketika membawanya ke Anfield dari Southampton biarpun terpaksa melepaskan Mane yang enggan menerima kontrak baharu.

Sepanjang berada di Anfield, Mane meledak 90 gol untuk Liverpool pada saingan Liga Perdana Inggeris dan 120 gol secara keseluruhan selain menjaringkan 23 gol dalam semua kejohanan musim lalu.

Kehilangan pemain itu me­nyaksikan pengendali The Reds, Jurgen Klopp perlu mencipta gandingan baharu selepas berjaya menghasilkan trio Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Mane yang dianggap paling berbahaya dan berjaya membantu Liverpool menjulang gelaran EPL apabila menamatkan penantian 30 tahun lalu.

Bagaimanapun, Liverpool dilaporkan berjaya menandata­ngani penyerang Benfica, Dar­win Nunez yang dianggap se­bagai pengganti Mane. – MalaysiaGazette

https://www.theguardian.com/football/2022/jun/17/sadio-mane-leaving-liverpool-after-new-bayern-munich-offer-accepted