Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menerima kira-kira 50,000 permohonan kerakyatan dan hampir 10,000 daripadanya telah diluluskan dalam enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tempoh saringan dan kelulusan boleh mengambil masa lima enam bulan hinggalah 50 tahun bergantung kepada dokumen, keadaan sebenar dan proses penilaian.

Beliau berkata, Sabah sahaja mempunyai lebih sejuta migran sementara Malaysia mempunyai kira-kira 20,000 pelarian, oleh itu proses kelulusan kerakyatan perlu dilakukan secara teliti.

“JPN bukannya menguruskan satu dua kes sahaja, tetapi berpuluh-puluh ribu kes.

” Sekiranya semua permohonan termasuk oleh pelarian yang mendakwa diri mereka tiada kewarganegaraan dan dilahirkan di Malaysia diluluskan, maka masalah akan berlaku,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Hamzah berkata, kerakyatan merupakan satu anugerah tertinggi oleh negara dan juga melibatkan soal kedaulatan, oleh itu, kelulusan perlu dilakukan secara teliti.

Hamzah juga menafikan bahawa JPN lambat dalam melakukan kelulusan kerana beliau sendiri telah meluluskan 10,000 permohonan.

“Selagi memenuhi syarat, kerajaan akan meluluskan. Tiada sebab yang spesifik, tetapi kami perlu mempertimbangkan prosedur yang ada,” katanya.

Mengenai pertukaran “kad merah” kepada “kad biru” untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas, Hamzah berkata, kerajaan tidak akan memberi kelulusan secara menyeluruh.

Beliau berkata, maklumat kelahiran dan latar belakang keluarga pemohon sebaliknya perlu disaring.

“Kami tidak akan memberi (kerakyatan) kepada semua pemegang ‘kad merah’, tiada orang yang akan membuat pengumuman demikian,” katanya.

Jelasnya, kerajaan bagaimanapun tidak akan “mendenda” anak dari segi kerakyatan jika keadaan itu adalah disebabkan kelalaian ibu bapa.

Beliau bagaimanapun berpendapat adalah tidak logik untuk pemegang “kad merah” tiba-tiba menuntut kerakyatan selepas Malaysia merdeka selama 65 tahun.

“Yang memegang ‘kad merah’ bukan rakyat Malaysia, oleh itu mereka tidak menerima status ini,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ikutlah contoh negara-negara kecil Qatar, UAE, dan Kuwait ada majority besar migran warga asing sehingga ke cucu-cicit bayar cukai demi memperkayakan pribumi mereka. Insaflah politikus Pak Pandir supaya jangan lagi kemaruk beri undi kepada migran warga asing.

Comments are closed.