Gambar hiasan

BENTONG dan IPOH – Pada 2009, Bentong di Pahang dikejutkan dengan kes pembunuhan dan rogol bersiri oleh “Rambo Bentong.”

Salah seorang mangsanya adalah seorang gadis 17 tahun yang dikelar lehernya.

Walaupun 13 tahun sudah berlalu, tetapi ibu kepada mangsa pembunuhan itu masih tidak bertenang dan berharap penjenayah yang melakukan pembunuhan kejam itu akan digantung secepat mungkin.

Tan Siew Lin iaitu ibu kepada Annie Kok berkata, “nyawa dibalas nyawa dan pembunuh sepatutnya dikenakan hukuman yang tegas.”

“Kerajaan harus memahami betapa sakitnya hati ahli keluarga dan ibu bapa yang anak mereka dibunuh. Luka mental kami adalah tidak terubat buat selama-lamanya,” katanya dipetik Sinchew Daily.

Menurut ibu itu, melalui maklumat daripada polis, penjenayah yang  telah dijatuhkan hukuman mati itu sedang dikenakan hukuman sebat dan akan digantung sebaik sahaja hukuman sebat selesai.

Kata Siew Lin, walaupun menunggu hari hukuman gantung dilaksanakan, tetapi pengumuman kerajaan mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori adalah mengecewakan.

“Jika hantu ini terlepas daripada hukuman gantung, maka saya akan marah dan kecewa. Kerajaan tidak harus menghabiskan duit pembayar cukai untuk memelihara penjenayah. Ini tidak adil,” katanya.

Menurut rekod, “Rambo Bentong” atau nama sebenarnya Rabidin Satir dijatuhi lebih daripada satu hukuman gantung sampai mati kerana selain membunuh Annie, dia juga membunuh seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Daerah Bentong.

Dia juga merompak dengan menggunakan senjata api, mendatangkan kecederaan dan merogol isteri mangsa.

Siew Lin berpendapat hukuman mati mandatori harus dikekalkan kerana pembunuh tidak layak diampunkan.

Berlainan dengan Siew Lin, seorang ibu lain yang dikenali sebagai Kak Yun pula berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan anaknya yang dijatuhkan hukuman mati.

Ibu itu berusaha melalui pertubuhan bukan kerajaan untuk mendapatkan pengampunan untuk anaknya daripada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak.

“Anak saya bukan orang jahat dan dia berkelakuan baik dalam penjara. Saya berharap dia akan diberi peluang kedua,” katanya.

Untuk bersua dengan anaknya di penjara selama 45 minit, Kak Yun perlu menaiki dua bas dan perjalanan ulang alik termasuk masa menunggu bas mungkin memakan masa sehingga sembilan jam.

Namun begitu, disebabkan badan yang tidak sihat, dia sudah lebih dua tahun tidak bertemu dengan anaknya di penjara.

“Anak saya biasanya akan menelefon pada Jumaat atau Ahad dan dia berpesan tak perlu menjenguk dia di penjara disebabkan masalah kesihatan saya,” katanya.

Kak Yun berkata, pengumuman mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori membawakan pengharapan bahawa anaknya akan diselamatkan.

Anaknya yang kini berumur 30 tahun lebih telah berkawan dengan orang yang jahat sehingga terlibat dalam satu kes melibatkan kematian.

Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan semua bersetuju hukuman mati dijatuhkan ke atas anak Kak Yun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast