Gambar hiasan

PULAU PINANG – Kos pengebumian untuk kaum Cina telah melonjak dengan harga keranda sahaja telah meningkat berterusan selama 10 tahun.

Presiden Pertubuhan Istiadat Pengebumian Orang Awam Malaysia, Kong Thian Hau berkata, harga keranda untuk pengebumian cara menanam telah meningkat antara 50 hingga 250 peratus dalam 10 tahun sementara keranda untuk pengebumian pembakaran meningkat antara 30 hingga 150 peratus.

Beliau berkata, harga untuk keranda tradisional yang melibatkan banyak kerja tangan pula boleh mencecah antara RM18,000 hingga RM28,000 sebuah, antaranya kerana semakin kekurangan tenaga mahir untuk menghasilkannya dan banyak masa diperlukan dalam proses pembuatan.

“Kenaikan harga keranda didorong oleh pelbagai faktor termasuk kos bahan mentah, kadar pertukaran, kos buruh, pengangkutan, malahan kesan rantaian daripada perang,” katanya kepada China Press.

Ujarnya, untuk pembakaran, pakej pengebumian dengan membakar yang ditawarkan adalah antara RM10,000 hingga RM30,000 manakala pengebumian tanah pula memerlukan antara RM20,000 hingga RM50,000.

Menurutnya, bekalan keranda adalah normal dan tidak berlaku kekurangan stok. – MalaysiaGazette