KUALA LUMPUR – Setelah setahun bertarung untuk pulih daripada kanser testis, Brendan Gan mengakui jaringan buat Selangor FC pada penampilan pertamanya menentang Sarawak United semalam, menjadi momen yang indah serta penuh emosi.
Pemain tengah berusia 34 tahun itu berkata, segala pengorbanan dan semangatnya untuk berjuang dengan penyakit itu sememangnya sangat mencabar, namun beliau gembira kerana akhirnya dapat bermain bola sepak secara kompetitif.
“Semalam hari yang sangat emosional buat saya dan keluarga kerana saya akhirnya dapat kembali ke padang selepas setahun. Saya tahu ini bukan tahap dimahukan, tetapi sangat bermakna kerana dapat melakukan satu perkara yang saya sangat suka serta membantu rakan sepasukan.
“Banyak perkara sukar telah ditempuhi sebelum saya mampu kembali ke tahap ini dan ramai tidak tahu apa yang saya kena lakukan untuk pulih sepenuhnya.
“Tidak penting sama ada saya menjaringkan gol atau tidak kerana apa paling penting adalah pasukan berjaya meraih kemenangan serta mencapai apa yang disasarkan pada penghujung musim ini,” katanya menerusi kenyataan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.
Pada aksi Liga Super malam tadi, Brendan meledak jaringan pertama Selangor pada minit ketujuh selepas merembat kencang bola dalam kawasan kotak penalti hasil umpanan Quentin Cheng.
Gol itu menyemarakkan semangat Selangor yang berjaya menambah enam gol dengan penyerang import dari Brazil, Herlison Caion meledak hatrik, manakala Hyuri Henrique, Nor Hakim Hassan dan Aliff Haiqal masing-masing meledak satu gol.
Sementara itu, Brendan berharap rakan sepasukan tidak terbuai dengan kemenangan besar 7-0 itu, sebaliknya melihat jauh ke hadapan kerana masih banyak perlawanan perlu dilalui.
Brendan berkata, skuad Gergasi Merah itu harus fokus dalam meneruskan aksi konsisten pada setiap perlawanan selepas ini.
“Jika kami mampu meneruskan rentak pada setiap perlawanan, tidak mustahil kami boleh menaikkan kembali nama Selangor untuk berada dalam kalangan pasukan teratas,” katanya. – Bernama