Peraturan dan ketetapan yang dihasilkan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) didakwa antara penyebab perkhidmatan teksi negara ini jauh ketinggalan berbanding negara jiran.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Peraturan dan ketetapan yang dihasilkan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) didakwa antara penyebab perkhidmatan teksi negara ini jauh ketinggalan berbanding negara jiran.

Ketua Aktivis Pertubuhan Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM), Kamarudin Mohd Hussain mendakwa, perkhidmatan teksi di Malaysia lebih mundur dan ketinggalan zaman jika dibandingkan dengan Thailand dan Indonesia.

“Masalah ini berpunca daripada kelemahan agensi kerajaan yang diamanahkan tugas membuat dasar dan mengawal selia industri teksi negara khususnya SPAD dan MOT.

“Sebenarnya inilah punca utama kepada kerosakan dan kemunduran industri teksi negara. Apa yang berlaku di dalam industri teksi negara adalah hasil daripada peraturan dan ketetapan yang dibuat oleh kerajaan.

“Baik dari segi pemilihan kenderaan, kadar tambang, cara perkhidmatan, penguatkuasaan dan sebagai adalah perkara yang ditentukan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kamarudin Mohd Hussain.

Tambah Kamarudin, pemandu teksi hanya golongan rakyat B40 didakwa menjadi mangsa yang kemudiannya perlu memberikan perkhidmatan dengan mematuhi segala peraturan dan ketetapan yang dibuat oleh kerajaan.

“Saya tidak meletak atau menyalahkan rakan-rakan pemandu sebaliknya saya meletakkan segala tanggungjawab tersebut kepada kerajaan khususnya SPAD dan MOT,” katanya.

Menurutnya, industri teksi tempatan semakin jauh ketinggalan apabila agensi berkaitan diketuai oleh individu yang tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan mengenai operasi pengangkutan awam.

“Kesudahannya, mereka yang diamanahkan tugas bukan sahaja tidak mampu memacu industri teksi ke arah kemajuan, malah mereka yang tidak mempunyai nilai insan, malah menabur pasir ke dalam periuk nasi pemain industri.

“Tidak mustahil gejala rasuah yang menjala di dalam agensi kerajaan khususnya SPAD telah menyebabkan mereka membuat dasar yang hanya memihak dan melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu.

“Lihat sahaja suasana di Lapangan Terbang Thailand, mereka masih mengekalkan dan menaikkan imej TAXI (Teksi) sebagai perkhidmatan yang sah dan diiktiraf dunia,” katanya.

Lebih memalukan apabila kerajaan seolah-olah tunduk kepada industri e-hailing hanya dengan alasan untuk mengejar kemajuan teknologi dan trend yang sebahagian besarnya menjurus kepada kepentingan Grab.

“Kerajaan bukan sahaja tidak berusaha memajukan industri teksi, malah bertindak mewujudkan undang-undang dwi standard di antara teksi dan Ehailing demi menjaga kepentingan kroni-kroni kapitalis.

“Jika kerajaan sendiri tidak mahu bersikap tulus dan jujur dalam membuat peraturan, industri teksi negara akan terus mundur dari Thailand dan Indonesia.

“Malah secara tidak langsung ia akan menyumbang ke arah ketidakpercayaan pelancong luar dan pelaburan langsung asing ke negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette