Ketua Polis pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf menyerahkan watikah pelantikan ahli jawatankuasa Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kuantan.

KUANTAN – Polis menasihati masyarakat supaya berwaspada bagi menggelak terjebak dengan skim pekerjaan tidak wujud yang menawarkan gaji lumayan dengan kebanyakannya beroperasi di luar negara.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mereka yang ditawarkan pekerjaan dari luar negara, terutamanya menerusi platform media sosial atau khidmat pesanan ringkas (SMS), perlu menyiasat terdahulu kesahihah tawaran pekerjaan berkenaan.

“Pelbagai modus operandi yang dilakukan termasuk melalui aplikasi Whatsapp dalam kalangan individu yang terdesak dan memerlukan pekerjaan terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mudah terpedaya.

“Terkini difahamkan bahawa ada sindiket penipuan pekerjaan dikatakan menawarkan kerja dalam industri perhotelan di luar negara yang  baharu beroperasi dan meminta mangsa meninggalkan pekerjaan dengan menawarkan gaji lumayan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan 16 watikah pelantikan ahli jawatankuasa Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob.

Namun, tambah beliau, hotel terbabit dikatakan masih dalam pembinaan yang mana ia menunjukkan terdapat keraguan dalam tawaran pekerjaan itu.

Menurut Ramli, apabila berada di negara terbabit mereka ditawarkan kerja sebagai `scammer’, bukan dalam industri perhotelan seperti dijanjikan.

“Sehingga kini polis Pahang belum menerima laporan terbabit, tetapi kita tidak menolak kemungkinan kes seperti ini akan berlaku di Pahang jika kegiatan terbabit ditangani,” katanya. – MalaysiaGazette