Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-30 prosiding 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) memberitahu mahkamah hari ini Bank Deutsche Berhad (DBMB) pernah didesak untuk mempercepatkan pemindahan dana sebanyak AS$1 bilion bagi tujuan pelaburan antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Saksi itu, bekas Pengarah Urusan Bahagian Jualan Korporat Pasaran Global DBMB, Jacqueline Ho Yek Wan mendakwa, Pengarah Eksekutif 1MDB ketika itu, Casey Tang berterusan mendesak pihaknya  mempercepatkan pemindahan.

Dakwanya Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak juga dikatakan hendak membuat pengumuman secepat mungkin berhubung kerjasama itu.

Dana itu didakwa masuk ke dalam dua akaun iaitu PSI (AS$700 juta) dan akaun JVCo 1MDB-PSI (AS$300 juta).

“Kata Casey Tang ketika itu kepada saya proses pemindahan ini perlu dan cepat kerana ianya adalah transaksi antara kerajaan dengan kerajaan (G2G),” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lawrence Sequerah hari ini.

Bagaimanapun, sambung Yei Wan dalam keterangan saksinya, dana AS$1 bilion itu tidak dipindahkan kepada akaun BSI Bank seperti yang diminta oleh 1MDB kerana perlu mendapatkan kebenaran pemindahan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

DBMB kemudian dimaklumkan oleh Casey Tang bahawa kedua-dua penerima dana itu adalah PSI dan JVCo 1MDB-PetroSaudi.

“Kita menerima arahan tentang kiriman wang ini dari 1MDB melalui pegawainya yang bernama Stephenny Chow. Saya kemudian menghubungi beliau untuk meminta 1MDB menambah nama 1MDB-PSI sebagai penerima.

“Saya kemudian menerima e-mel dari beliau yang memaklumkan 1MDB-PSI menerima dana AS$300 juta dan PSI sebanyak AS$700 juta tetapi dalam pada masa sama, Chow memberitahu saya, nama penerima tidak sepatutnya masuk dalam arahan kiriman wang.

“DBMB kemudian memaklumkan kembali kepada Casey Tang, kita memerlukan kelulusan dari BNM yang mana beliau (Casey Tang) datang dengan surat kelulusan dari BNM yang menyatakan pemindahan dibuat ke dua akaun berbeza,” ujarnya.

Malah walaupun saksi pernah memberitahu Casey Tang dan juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ada kemungkinan jika tiada nama penerima bersama nombor akaun, kemungkinan besar bank penerima akan menolak pindahan wang berkenaan.

Namun 1MDB bersedia untuk menanggung sebarang risiko, dakwa Yek Wan.

Sebelum ini, salah seorang saksi, Tan Sri Mohd Bakke Salleh pernah melahirkan rasa kurang senangnya dengan pembayaran AS$700 juta ke akaun Good Star Limited dipercayai dimiliki oleh Low Taek Jho atau Jho Low, ahli perniagaan dalam buruan pada masa ini.

Prosiding akan bersambung esok.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.-MalaysiaGazette