Kira-kira 500 penduduk di Taman Muzaffar Syah, Lebuh Ayer Keroh, Bukit Katil, Melaka menyuarakan kebimbangan terhadap sebuah projek pembangunan rumah kedai di hadapan kediaman mereka yang didakwa menjadi punca tanah runtuh di kawasan itu sejak Mac lalu

MELAKA – Kira-kira 500 penduduk di Taman Muzaffar Syah, Lebuh Ayer Keroh, Bukit Katil di sini menyuarakan kebimbangan terhadap sebuah projek pembangunan rumah kedai di hadapan kediaman mereka yang didakwa menjadi punca tanah runtuh di kawasan itu sejak Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Keroh Ismail Othman berkata, projek berkenaan mula mendapat bantahan penduduk sejak ia bermula pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, aduan penduduk semakin banyak diterima apabila berlaku pergerakan tanah di tebing cerun bukit itu sehingga mengakibatkan Jalan Sri Raya 4 dan Jalan Sri Raya 7 mulai merekah sehingga menjejaskan kehidupan 80 buah rumah melibatkan kira-kira 500 penduduk.

“Bila semakin rancak projek ini berjalan, semakin banyak aduan penduduk diterima dan kejadian hujan lebat baru-baru ini memburukkan lagi keadaan apabila berlaku runtuhan tebing sehingga menyebabkan berlaku keretakan di jalan dalam kawasan perumahan.

Mohd Arief Yusa

“Apa yang lebih merisaukan penduduk, kesan projek itu terhadap sebuah tangki air besar jaraknya cuma 100 meter dari tapak projek berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi projek berkenaan di sini hari ini.

Pengerusi Penyelaras Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Mohd Arief Yusa berkata, pihaknya telah pun mengemukakan aduan kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai kesan projek berkenaan.

Menurutnya, ia termasuklah pertikaian penduduk bagaimana tanah zon hijau itu berubah menjadi zon pembangunan terutamanya di kawasan cerun bukit sehingga telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh.

Muhammad Ahyad Abdullah

Sementara itu, Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Muhammad Ahyad Abdullah berkata, beliau telah meminta pemaju, MPHTJ dan JKR memberi laporan penuh mengenai impak projek berkenaan hari ini.

“Kita akan ambil tindakan hari ni juga untuk mengatasi masalah ini khususnya melibatkan kawasan tanah runtuh untuk mengurangkan keresahan penduduk.

“Saya dah mohon MPHTJ dan JKR beri laporan penuh yang dibentangkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali hari ini juga untuk diperhalusi sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette.