KUALA LUMPUR – Bekalan ubat tertentu yang sebelum ini berkurangan dijangka kembali stabil mulai bulan depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mendapati 85 peratus daripada 47 fasiliti kesihatan yang disemak secara rawak mengalami kekurangan sekurang-kurangnya satu jenis ubat.
Katanya, beberapa semakan secara rawak turut telah dijalankan bagi melihat kekurangan ubatan membabitkan tujuh hospital, 10 klinik swasta dan 30 premis farmasi.
“85 peratus daripada 47 fasiliti ini telah melaporkan sekurang-kurangnya satu jenis ubatan mengalami kekurangan.
“Kebanyakannya ubatan yang diguna adalah bagi sakit biasa seperti batuk, selesema, demam dan antibiotik untuk kanak-kanak.
“Malah minggu lalu KKM telah setuju meminjamkan ubat-ubatan kepada mana-mana fasiliti perubatan swasta yang tidak cukup ubat ubatan mereka, saya jangkakan situasi ini akan stabil mulai Julai dan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas sempena Persidangan Pengarah-Pengarah Hospital (KKM), secara maya hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, terdapat beberapa jenis ubat-ubatan mengalami kekurangan di pasaran, termasuk di klinik swasta berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan mengikut tempoh ditetapkan akibat kekurangan bahan mentah.
Antara ubat-ubatan yang didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam dan antibiotik yang disifatkan penting untuk rawatan harian pesakit.
Selain itu ubat untuk merawat penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) disebabkan peningkatan kes itu di seluruh negara turut mengalami kekurangan.
Dalam pada itu, menurut Khairy, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memperkukuh hospital awam supaya sentiasa siap siaga dalam menghadapi cabaran kesihatan global.
Katanya, pandemik Covid-19 bukan satu-satunya pandemik yang dihadapi manusia, sebaliknya mungkin terdapat banyak lagi pandemik lain.
“Justeru, pengalaman berdepan pandemik Covid-19 menuntut kita memberi tumpuan bagaimana hospital awam dapat terus diperkukuh bagi menangani masalah kesihatan awam.
“Kita juga harap persidangan ini dapat digunakan untuk pengembangan idea bagi transformasi penjagaan kesihatan berasaskan nilai.
“Ini akan memerlukan satu pelaburan besar dari segi sistem data untuk kita mendapat maklumat terperinci bagi setiap kes,” ujarya. – MalaysiaGazette