KOTA BHARU – Lebih 60 keluarga di Kampung Jalan Atas Paloh, di sini, berputih mata apabila satu demi satu rumah mereka dirobohkan atas arahan sebuah anak syarikat kerajaan Pas Kelantan.
Sungguhpun, tanah yang mereka bina rumah sejak 80 tahun itu milik kerajaan negeri, tetapi tanpa belas kasihan, kerajaan negeri hanya menjanjikan bayaran pampasan RM1,000 tiap keluarga untuk dibangunkan lebih 400 unit kondominium bertingkat.
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang membela keluarga berkenaan daripada diusir daripada penempatan tersebut telah memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Disember 2020.
Menurut Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali, permohonan itu difailkan untuk menuntut keadilan dari mahkamah berhubung penganiayaan sebuah syarikat perbadanan milik kerajaan negeri ke atas penduduk di situ.
Namun, katanya, beliau terkejut dan sedih apabila dimaklumkan rumah penduduk telah dirobohkan menggunakan jentera berat semalam, tanpa rasa simpati dan belas kasih daripada kerajaan negeri yang berslogankan Membangun Bersama Islam.
“Saya mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan meroboh rumah penduduk ini. Betul itu tanah kerajaan, tetapi berfikiran waraslah dalam menetapkan bayaran pampasan.
“Setiap keluarga hanya dijanjikan pampasan berjumlah RM1,000 yang dibayar dua kali, iaitu RM500 sebelum roboh dan bakinya RM500 lagi selepas roboh.
“Adakah semurah itu harga diri penduduk ini? Upah bayar jentera untuk robohkan rumah ini RM1,000 sehari, inikan penduduk yang diami lebih 80 tahun di sini dibayar RM1,000,” katanya kepada Malaysia Gazette, hari ini.
Pada November 2020, Dr. Ibrahim bersama kepimpinan Putra Kelantan dan Kota Bharu mengadakan perjumpaan dengan penduduk kampung itu selepas menerima aduan berhubung tindakan kerajaan negeri terhadap mereka.
Beliau menyifatkan bayaran pampasan RM1,000 itu sebagai tidak masuk akal, selain penduduk di situ berdepan dengan tindakan merobohkan kediaman masing-masing.
“Daripada lebih 60 keluarga, hanya 16 rumah penduduk lagi masih kekal, manakala selebihnya telah dirobohkan dengan alasan tanah itu akan dimajukan dengan projek pembangunan komersial.
“Justeru, Putra dengan barisan peguam telah mengambil tindakan mahkamah dengan mendapatkan perintah injunksi bagi menangguhkan kerja meroboh baki kediaman penduduk sehingga selesai rundingan kedua-dua pihak.
“Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika masih hidup dan memegang jawatan Menteri Besar ketika itu menjanjikan akan menggantikan satu unit flat dan pampasan wang tunai,” katanya.
Namun, janji tidak ditunai selepas beliau meninggal dunia dan kepimpinan yang mengambil alih pentadbirannya telah melakukan kezaliman dan kekejaman terjadap rakyat.
“Mana sifat kemanusian pemimpin Pas Kelantan yang setiap hari melaunkan slogan Membangun Bersama Islam? Memang celaka.
“Bayar pampasan pun tidak masuk akal. Apa penduduk dapat lakukan dengan RM500? Nak bina reban ayam pun tak cukup.
“Memang zalim, sama zalim dengan zionis Israel yang menghalau rakyat Palestin,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Tapi masih ada yang sokong . Siapakah penyokong itu????? Zionis berlambang Islam ke ?????