Seorang warga emas dipercayai menembak mati kucing jirannya menggunakan selaras senapang angin buatan sendiri di rumahnya di Bukit Rambai, Melaka semalam.

MELAKA – Lagi kes keganasan terhadap kucing!

Kali ini melibatkan warga emas yang dipercayai menembak mati kucing jirannya menggunakan selaras senapang angin buatan sendiri di rumahnya di Bukit Rambai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 62 tahun bertindak menembak mati kucing berkenaan dalam kejadian pukul 2.30 petang kerana marah apabila haiwan itu masuk ke rumahnya.

Menurutnya, akibat perbuatan itu, kucing berkenaan disahkan mati selepas pemeriksaan doktor sebuah klinik haiwan menemui kesan luka dan beberapa butir logam yang dijadikan peluru menembusi belakang badan haiwan malang itu.

“Kita menerima laporan daripada seorang lelaki petang semalam mengatakan seekor kucing peliharaannya mengalami muntah darah dan terdapat luka kecil di bahagian belakang badannya.

“Seterusnya pemeriksaan doktor klinik haiwan tersebut mengesahkan kucing itu mati akibat telah ditembak berdasarkan kesan geguli besi di dalam badannya,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Christopher Patit

Susulan itu, katanya, satu tindakan lanjut telah diambil Cawangan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan berjaya menangkap lelaki warga emas berkenaan dan anaknya berusia 27 tahun dalam dua tangkapan berasingan.

“Dalam tangkapan pertama pukul 8 malam semalam, polis menahan warga emas berusia 62 tahun itu dan turut merampas selaras senapang angin serta beberapa alatan yang dipercayai sebagai alat ganti senapang angin tersebut.

“Turut dirampas adalah 17 butir peluru penabur di dalam sebuah bilik dan kedua-dua suspek termasuk anaknya yang ditahan di hadapan IPD Melaka Tengah 2.30 petang tadi hari mengaku terlibat dalam kes terbabit,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek telah di dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari untuk membantu siasatan.

Christopher berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh disabitkan dengan denda tidak kurang dari RM20, 000 sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

“Polis menyeru kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang kegiatan jenayah atau sebarang aktiviti yang mencurigakan supaya segera menyalurkan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Semalam, media melaporkan polis menahan seorang lelaki yang bertindak kejam dengan menendang dan membaling batu bata ke arah dua ekor kucing dalam kejadian di kaki lima bangunan premis di Taman Semeling Maju, Sungai Petani, Kedah.

Terdahulu tular rakaman sistem televisyen litar tertutup berdurasi tiga minit yang memaparkan tindakan suspek melakukan keganasan terhadap dua ekor kucing.

Susulan itu, polis menahan suspek lelaki berusia 27 tahun itu di rumahnya di Kampung Pengkalan Merbok, Bujang, Merbok pada kira-kira 1.30 petang semalam dan di bawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini untuk permohonan reman. – MalaysiaGazette