KUALA LUMPUR – Pemansuhan subsidi ayam, telur dan minyak masak tulen botol hanya akan terus membebankan rakyat, selain menyebabkan bekalan ayam terus tidak stabil dalam jangka masa yang panjang dan akan menyebabkan harga ayam, telur dan minyak masak terus melambung.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berpendapat langkah yang diambil oleh kerajaan amat tidak menyeluruh dan tidak tuntas kerana segala langkah itu lebih memfokuskan penyelesaian jangka masa pendek.
Ini kerana tiada jaminan harga ayam, telur dan minyak itu tidak akan naik mendadak selepas subsidi ditarik tanpa intervensi yang baik oleh pihak berkuasa, kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Firdaus Hadzir.
Lantaran itu, PKPIM menggesa kerajaan agar segera menyelesaikan isu akar dalam masalah penyaluran subsidi kepada pembekal ayam dan minyak masak seperti manipulasi harga oleh pihak kartel, penyeludupan minyak masak selain proses permohonan subsidi yang sangat merumitkan.
Pada masa sama, PKPIM merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri atas pengumuman bantuan tunai tambahan buat penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) daripada golongan B40.
Kerajaan disarankan untuk juga mempertimbangkan nasib golongan M40 yang kian terbeban akibat peningkatan harga barang pada masa kini, selain menyelesaikan masalah penyaluran bantuan kepada penerima BKM akibat maklumat yang tidak dikemaskini oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri.
PKPIM mengulangi pendirian kami tentang kawalan terhadap harga barangan di pasaran dalam usaha pemerkasaan terhadap dasar sekuriti makanan, dimana jaminan bekalan makanan yang cukup, harga yang berpatutan serta makanan yang bernutrisi merupakan asas utama bagi dasar berkenaan.- MalaysiaGazette