Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin hadir pada Pengumuman Sasterawan Negara ke-15 di Kementetian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 22 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Pemilihan Datuk Rahman Shaari sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-15 yang membawa gelaran Sasterawan Negara tidak mempunyai campur tangan Menteri.

Sebaliknya Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pemilihan itu dilakukan oleh ahli-ahli panel pakar dengan mengambil kira bentuk karya dan sumbangan daripada 12 sasterawan yang disenarai pendek kementeriannya.

“Itu Menteri dulu, Menteri kali ini tak ada sebarang campur tangan, saya hormati kepakaran semua ahli-ahli panel dalam memilih.

“Mereka melihat serta mengkaji pelbagai bentuk karya yang telah dikeluarkan oleh calon-calon yang telah disenarai pendek.

“Tidak timbul sebarang campur tangan tengok semua panel berada di sini semua gembira dengan keputusan dibuat.

“Saya secara peribadi setuju dengan keputusan yang dibuat panel,” katanya pada sidang media di pejabat KPM, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan penangguhan pengumuman Sasterawan Negara Ke-14 pada April 2019 dikaitkan dengan campur tangan politik apabila dua panel baharu dibawa masuk ke mesyuarat akhir pemilihan Anugerah Sastera Negara.

Laporan yang memetik sumber berkata, dua panel baharu itu tidak terbabit dengan proses awal pemilihan Sasterawan Negara.

Penyertaan mengejut dalam mesyuarat akhir itu sekali gus menunjukkan wujudnya kecenderungan memilih calon Sasterawan Negara yang tiada dalam senarai pencalonan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat Anugerah Sastera Negara. – MalaysiaGazette