Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Polis mengesyaki Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersubahat dengan dua lagi individu berhubung kehilangan wang anggaran RM250,000 dalam peti besi di rumah Ahli Parlimen Muar itu, dua tahun lalu.

Asisten Supritendan Ahmad Marzuqi Ibrahim yang menjadi saksi pendakwa kelima memberitahu mahkamah, siasatannya menjurus kepada Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah dan Lim Hooi Sean memandangkan hanya mereka bertiga yang mengetahui kata laluan rahsia peti besi tersebut.

Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati hanya terdapat cap jari Syed Saddiq yang ditemui pada almari dan kawasan peti besi tersebut, katanya.

Beliau yang juga pegawai penyiasat kes kehilangan wang itu berkata, pihaknya kemudian menghantar surat permohonan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan maklumat untuk membantu siasatan namun tidak memperoleh jawapan daripada bank pusat itu.

Pegawai polis itu turut mengesahkan, tiada sebarang kesan umpilan pada peti besi hasil siasatan yang dibuat dan hanya terdapat kesan cap jari Syed Saddiq manakala biliknya berada dalam keadaan kemas.

Ujarnya, beliau tidak melakukan seberang pengesahan atau siasatan bagaimana Syed Saddiq memperoleh wang tersebut kerana siasatan dilakukan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kecurian dalam bangunan.

“Tambahan pula YB Syed Saddiq telah mengesahkan bahawa wang yang hilang adalah wang simpanan beliau dan ibu bapa beliau,” ujarnya ketika memberi keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid.

Pegawai polis itu turut mengesahkan, Syed Saddiq tidak pernah memberitahu wang yang hilang itu turut daripada sumber politik kerana beliau hanya menyatakan ia wang simpanan dia dan kedua-dua ibu bapanya.

Tambah beliau, polis menjalankan siasatan hasil laporan polis yang dibuat oleh Ahli Parlimen Muar itu dan bapanya, Syed Abdul Rahman Abdullah Alsagoff pada 29 Mac 2020 berhubung kehilangan daripada peti besi di rumah di Kampung Tunku, Petaling Jaya.

Dalam pernyataan juga, Syed Saddiq menyatakan, peti besi itu yang menggunakan kombinasi nombor keselamatan rahsia dan dibuka kali terakhir di antara 13 dan 14 Mac 2020.

Ahmad Marzuqi selanjutnya menyatakan, polis kemudian menangkap seorang wanita warganegara Indonesia, Novi Dwi Anggraeni pada 30 April 2020 bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Katanya, pembantu rumah tersebut dibebaskan setelah tiada keterangan dan bukti bagi mengaitkannya ekoran tiada pencerobohan berlaku di bilik dalam rumah itu.

Syed Saddiq sedang dibicarakan terhadap pertuduhan pindaan bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. (pertuduhan pindaan kedua)

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Perbicaraan bersambung 4 Julai ini. – MalaysiaGazette