Mohd Sabirin Mohd Sarbini

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memperuntukkan RM42.152 juta untuk keseluruhan program bantuan banjir yang melanda negeri itu pada Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, jumlah itu melibatkan kos membaik pulih rumah, membina kediaman baru, membaik pulih pasca banjir kepada institusi dan individu yang terkesan.

Katanya, bagi bantuan banjir untuk membaik pulih rumah asnaf, LZS menyumbang sebanyak RM2.4 juta dengan setiap mangsa menerima maksimum RM30,000.

“Tetapi, tidak semua mangsa banjir dapat peruntukan sebanyak itu, ada yang dapat RM5,000, iaitu bergantung kepada kerosakan, maksimumnya RM30,000 bagi kes ini.

“Bagaimanapun, untuk membina rumah baru, jumlah diperuntukan yang disumbangkan oleh agensi lain sebanyak RM3 juta dan diuruskan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Buat masa ini, saya difahamkan dalam proses untuk membina rumah baru dan mungkin ada sedikit kelewatan disebabkan masalah dokumentasi oleh pemohon itu seperti geran tanah dan permohonan bertindih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Bulan Taksir Zakat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Kempen bulan itu dilancarkan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Menurut Mohd Sabirin, bagi kerja membaik pulih rumah asnaf sudah dimulakan melibatkan 119 rumah di seluruh negeri.

Jelas beliau, daripada peruntukan keseluruhan itu, sebanyak RM28,000 dikeluarkan dalam bentuk ‘one-off’, dengan setiap mangsa banjir menerima RM500.

Bagi sumbangan baik pulih pasca banjir kepada institusi yang terkesan seperti masjid, surau dan rumah pula diperuntukan sebanyak RM7.5 juta melibatkan 150 masjid dan surau.

“Bantuan pasca banjir keperluan asas rumah, kita bantu dari segi menyediakan peralatan kepada asnaf seperti perabot dan sebagainya diberikan RM2,000 seorang dengan peruntukan RM4.177 juta melibatkan 2,417 orang,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mohd Sabirin mengajak seluruh masyarakat lebih peka dan prihatin untuk tampil menunaikan zakat masing-masing.

“Ayuh, kita mula taksir zakat dan seterusnya tunai zakat di LZS. Tanpa zakat anda, asnaf di Selangor ini mungkin tidak menerima haknya.

“Tiada alasan untuk tidak menunaikan zakat bagi mereka yang berkemampuan.

“Berzakat kini jauh lebih mudah dengan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai di saluran pembayaran dalam talian seperti EZakatPay, perbankan internet, aplikasi e-dompet, portal MYEG dan pos online,” kata beliau.

Beliau turut berkata, sepanjang tahun lalu, hanya 8,900 daripada 17,780 pengeluar zakat menunaikan zakat perniagaan masing-masing di bawah nisab.

Selebihnya, kata beliau, mungkin mereka kurang pendedahan berkaitan bagaimana kiraan jumlah zakat perlu dibuat.

“Ada juga yang istiqamah dengan zakat potongan gajinya sejak bekerja hingga bersara. Ini mungkin disebabkan mereka terlupa oleh kesibukan kerja. Maka, tugas kami di LZS ialah untuk mengingatkan mereka.

“Selain itu, majoriti pembayar zakat sedia ada juga dilihat hanya menunaikan satu jenis zakat sahaja, sedangkan terdapat harta lain yang perlu dizakatkan,” katanya. – MalaysiaGazette