Sultan Ibrahim Iskandar

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah perhimpunan jalanan seperti yang dicadangkan oleh seorang pemimpin DAP bukannya cara bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang membina.

Titah baginda, suara atau pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain.

“Tidak cukup peritkah pengajaran daripada demonstrasi yang menjadi detik hitam dalam sejarah negara kita seperti pada tahun 1969, dan tidak lama dahulu, perhimpunan Bersih?

“Ia tidak mencapai sebarang matlamat, selain mengakibatkan kekecohan dan kerosakan. Ini bukan cara negara kita… tiada yang menang. Semuanya akan rugi dan kita tidak tahu berapa lama kita boleh pulih daripada kesan perhimpunan sebegitu.

“Undang-undang negara kita mesti dihormati. Janganlah buat kenyataan berbaur hasutan kerana ia tidak membantu, sedangkan ada banyak saluran yang lebih membina untuk menyuarakan pandangan,” titah baginda menerusi kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali mengeluarkan kenyataan agar rakyat berhimpun sebagai tanda protes susulan kenaikan kos sara hidup.

Sultan Ibrahim berkata, perhimpunan jalanan juga akan memberi impak negatif kepada ekonomi negara, menakutkan pelabur asing dan merencatkan permulihan negara daripada pandemik Covid-19.

“Janganlah buat perhimpunan sebegini. Pertumbuhan negara kita mesti dipupuk melalui dialog yang matang, bukan tindakan yang akan mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara,” titah baginda. – MalaysiaGazette